SEMPORNA: Seorang pemandu pelancong berusia 20 tahun ditangkap kerana disyaki mencabul dua pelancong wanita warga asing semasa melakukan aktiviti memancing dan snorkeling di perairan sebuah pulau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superitenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, turut ditahan adalah pengurus syarikat pelancongan iaitu seorang lelaki tempatan berbangsa Cina yang berusia 37 tahun.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada dua pelancong wanita warga asing yang menyatakan dicabul semasa sedang melakukan aktiviti memancing dan snorkeling.
Mangsa melaporkan suspek telah bertindak menyentuh payu dara dan menggesel kemaluan ke paha mangsa semasa melakukan aktiviti memancing dan seorang lagi mangsa melaporkan suspek menggesel kemaluan semasa aktiviti snorkeling.
Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai pemandu pelancong untuk sebuah syarikat pelancongan.
“Siasatan yang dijalankan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tiada permit bekerja yang sah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan turut dibuat ke atas pengurus syarikat pelancongan terlibat dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Farhan, suspek dan pengurusan syarikat akan ditahan reman selama empat hari bermula esok untuk siasatan lanjut.
Justeru, beliau menasihatkan majikan atau syarikat pelancongan supaya memastikan setiap pekerja mempunyai permit yang sah bagi mengelakkan sebarang tindakan.
Pihak polis akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain bagi memastikan setiap syarikat pelancongan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.- UTUSAN