SEREMBAN: Seorang pelajar Palestin di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini tidak mengetahui nasib saudara-maranya yang berada di Gaza selepas mereka terputus hubungan kira-kira dua minggu lalu.
Rana A. A. Jouda, 23, berkata, kali terakhir dia menghubungi datuk dan bapa saudaranya, mereka memaklumkan semuanya baik-baik..
“Walaupun mereka kata semua baik-baik tentu saya tidak percaya, saya tahu mereka tidak mahu saya bimbangkan keadaan mereka,” kata pelajar jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pengajian Islam itu.
Menurut Rona, ibu dan bapanya turut berada di Malaysia dan masing-masing kini bimbang dengan ketegangan yang berlaku di Gaza.
“Saya tidak tahu apa keadaan mereka sekarang, di sana sudah tidak ada talian internet, saya hanya berdoa agar mereka selamat,” katanya.
Kata pelajar itu, datuknya mempunyai sebuah rumah di Gaza dan sama ada keadaan rumah itu selamat atau tidak juga tidak diketahui.
“Saya hanya mendengar khabar mengenai keadaan di Gaza melalui siaran televisyen, Al J-azeera dan menerusi aplikasi Telegram untuk mengetahui keadaan terkini di Gaza,” katanya yang sudah berada di Malaysia sejak 2014 dan kini merupakan penuntut tahun akhir di USIM.
Dalam masa sama, Rona, merayu supaya rakyat Malaysia turut mendoakan nasib rakyat Palestin di Gaza yang kini turut berdepan ketiadaan bekalan air, elektrik dan talian internet.
“Tiada lagi hospital di sana (Gaza) kerana semuanya telah dibom dan kakitangan hospital termasuk orang awam tiada arah tuju. Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan rakyat termasuk keluarga saya di sana,” katanya.-UTUSAN










