ISKANDAR PUTERI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan mula menggunakan kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat bermula awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ia bermula dengan PBT di dalam kawasan ‘Greater JB’ melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Katanya, langkah ini bertepatan dengan inisiatif teknologi hijau yang ditekankan dalam agenda Maju Johor dengan kerajaan negeri menggalakkan PBT untuk mula mengamalkan perkara itu dan menggunakan EV.
“Semasa perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun turut diutarakan bahawa bermula tahun depan di peringkat kerajaan mula menggalakkan untuk guna EV bagi pelbagai agensi kerajaan.
“Di Johor khususnya PBT di dalam kawasan Greater JB…insya-Allah akan mula guna EV membabitkan MBPG, MBIP dan MBJB. Penggunaan EV di PBT lain diadakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan EV kepada MBIP daripada Sime Darby Rent-a-car Sdn. Bhd. di Bangunan MBIP, di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua WHIP MBIP, Datuk Abd Rashid Kasman.
Pada program itu, MBIP menerima empat buah EV secara sewaan dengan bayaran sebanyak RM300,000 setahun melibatkan empat buah kenderaan itu. – UTUSAN









