SHAH ALAM: Pas akan meneruskan agenda penyatuan ummah untuk menyatukan umat Islam dan bersama orang bukan Islam yang tidak ekstrem demi kestabilan dan keharmonian negara.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengetepikan slogan Islam untuk semua.
Selain itu, katanya, Pas mengajak semua pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh masyarakat untuk memperkukuh perpaduan ummah.
“Bila umat Islam lemah, kita akan hilang kekuatan. Bila kita tidak bersatu, kepentingan orang Melayu Islam semakin hari semakin dipijak dan hak keistimewaan agama Islam dan hak orang Melayu dan bumiputera semakin dicabar.
“Seruan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan kita akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata, Pas bersama Peikatan Nasional (PN) mesti berpegang teguh dengan imej bersih dan mesti dilihat bersih, wibawa dan inklusif.
“PN yang menjadi pilihan rakyat mesti dilihat berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) yang cakap tidak serupa bikin.
“Pada masa sama, kerjasama Pas dalam gabungan PN akan terus diperkasa. Tumpuan perlu diberikan pada aspek pengukuhan organisasi dan keserasian jentera di peringkat negeri dan kawasan, khususnya rakan-rakan dalam PN perlu menumpukan kepada penambahan ahli yang ramai dan cawangan yang banyak.
“Tanggungjawab menarik sokongan undi bukan Islam dan memberikan penerangan kepada mereka tentang jaminan keadilan dan keharmonian dalam pemerintahan kerajaan PN juga perlu dilaksanakan khususnya oleh rakan-rakan daripada Gerakan.
“Di samping itu, program tarbiah, kerohanian, kepimpinan dan kemasyarakatan secara bersama dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi ikatan kerjasama yang sedia terjalin ini,” katanya. – UTUSAN