Pas desak kerajaan hantar nota bantahan kepada negara halang

Pas desak kerajaan hantar nota bantahan kepada negara halang gencatan senjata

PERWAKILAN dan Pemerhati yang hadir pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas mendesak Kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada negara-negara yang menghalang usul gencatan senjata kemanusian daripada dilulus dan dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). 

Demikian antara ketetapan yang disarankan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika mencadangkan usul nombor lima berkaitan Palestin di Muktamar Tahunan Pas Ke-69, petang ini. 

Menurut Muhammad Khalil, Pas Pusat juga mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh entiti haram Israel terhadap Palestina di Gaza dan Tebing Barat. 

Katanya, ia terutamanya pembunuhan kejam ke atas wanita dan kanak-kanak serta pengeboman terancang terhadap hospital, masjid dan sekolah yang jelas tidak berperikemanusian dan mencabul undang-undang antarabangsa. 

“Selain itu, menggesa Kerajaan Malaysia bertindak mengetuai usaha membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang. 

“Seterusnya, menggesa Kerajaan Malaysia agar bertegas dalam memperjuang kebebasan Palestin dengan tegas menolak peranan Amerika Syarikat yang jelas khianat mendukung, malah, menaja serangan kejam Israel sebagai perantara palsu penuh muslihat selama ini,” katanya. 

Tambah beliau, Kerajaan Malaysia juga didesak untuk bertegas menolak penyelesaian dua negara yang jelas gagal memberi kemerdekaan dan keadilan kepada Palestin dan rakyatnya selama ini. 

“Ia malah dijadikan pegangan entiti haram Israel untuk terus menzalimi dan merampas hak-hak rakyat Palestin,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN