PARLIMEN: Tiada keperluan naikkan OPR 

PARLIMEN: Tiada keperluan naikkan OPR 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai langkah untuk memperkukuh nilai ringgit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, kadar inflasi dan pengangguran menunjukkan trend penurunan ketika nilai pelaburan pula menunjukkan peningkatan.

“Terdapat pandangan dalam kalangan pakar ekonomi untuk mengukuhkan ringgit, kita perlu meningkatkan OPR, tetapi kita memerlukan alasan untuk mewajarkannya.

“Adakah kerana inflasi? Tetapi inflasi sudah menurun. Jadi, adakah kerana pengangguran, sedangkan pengangguran berkurangan. Adakah kerana kita tidak boleh membawa pelaburan, tetapi pelaburan meningkat (di negara kita).

“Kita hanya naikkan OPR apabila keadaan ekonomi menuntut sedemikian. Jadi sekarang ini tiada keperluan menaikkan OPR kerana ia beri kesan kepada ringgit,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail [PN-Kubang Pasu] berhubung langkah menangani penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Anwar pada masa sama bimbang dengan kenaikan OPR boleh memberi kesan terhadap peniaga kecil.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah mengukuhkan semula nilai ringgit dengan kaedah dedolarisasi merujuk kepada langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dalam urusan perdagangan.

Katanya, hampir 2.5 peratus perdagangan dengan China dilakukan dengan menggunakan ringgit dan renmimbi.

Menurutnya, walaupun nilai ringgit semakin merosot, ia bukan satu-satunya mata wang yang menghadapi situasi sedemikian sebaliknya turut melibatkan penurunan nilai yen dan renminbi.

“Kerajaan juga sudah berbincang dengan negara Arab untuk memulakan dedolarisasi bagi mempertahan nilai ringgit,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya