Parlimen: Kumpulan kerja teknikal kaji penubuhan Suruhanjaya Kesihatan 

Parlimen: Kumpulan kerja teknikal kaji penubuhan Suruhanjaya Kesihatan 

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan struktur tadbir urus dan pembentukan pelbagai jawatankuasa dinamakan Kumpulan Kerja Teknikal (KKT) menuju ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang menjadi tuntutan pengamal perubatan sejak sekian lama. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketika ini kerajaan sedang memperinci perkara itu dan mengadakan sesi libat urus bersama pakar-pakar di dalam dan luar kementerian bagi meneliti kaedah terbaik menubuhkan suruhanjaya berkenaan. 

“Pada masa ini kerajaan sedang membangunkan pelaksanaan sistem kesihatan digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan yang dibentang tempoh hari. 

“Jadi sekarang kerajaan sedang melaksanakan struktur tadbir urus dan pembentukan pelbagai jawatankuasa.  Sama ada nama yang digunakan kekal sama atau guna perkataan lain ini terpulang. Tetapi fungsinya sama,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] mengenai status terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan. 

Sebelum ini, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak membangkitkan persoalan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan memandangkan perkara itu tidak terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan. 

Pada 15 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menerusi undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Parlimen Ke-15. 

Pada Julai lalu pula, Utusan Malaysia melaporkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang menjadi tuntutan banyak pihak tetap ditubuhkan meskipun perkara itu tidak dinyatakan secara jelas di dalam Kertas Putih Kesihatan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan antara yang menjadi tuntutan gerakan tunjuk perasaan Hartal Doktor Kontrak, yang menggesa untuk merealisasi an penubuhan badan berkenaan dalam tempoh lima tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Zaliha sebelum ini berkata, meskipun tiada perkara khusus direkodkan dalam Kertas Putih Kesihatan, entiti itu bakal ditubuhkan di sepanjang garis masa 15 tahun akan datang, melalui pelbagai strategi reformasi kesihatan yang telah dirangka.

Katanya, kementerian akan meneliti model terbaik dan sesuai dengan negara-negara lain supaya dapat disesuaikan di Malaysia sama ada dari sudut perundangan atau pentadbiran.

Pakar-pakar kesihatan berpandangan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan adalah hala tuju baik kerajaan kerana entiti itu adalah unik dan berbeza dengan perkhidmatan kerajaan lain dari segi sumber manusia dan kepakaran. 

Penubuhan suruhanjaya itu juga bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak di dalam Kementerian Kesihatan, membantu perkembangan kerjaya mereka dalam bidang perubatan seterusnya menjadi pakar perubatan, menumpukan kebajikan doktor serta menangani isu kekurangan doktor-doktor pakar.

Bagi mereka, sekiranya pelantikan kakitangan Kementerian Kesihatan diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ia membuatkan isu seperti emolumen bagi kakitangannya lebih terhad.

Bagaimanapun, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar meragui rancangan Kementerian Kesihatan lebih-lebih lagi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan memang tidak dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan. 

Beliau menyifatkan, sasaran penubuhan suruhanjaya itu di sepanjang garis masa 15 tahun akan datang sebagai ‘janji politik’ kerana Kerajaan Perpaduan tidak akan bertahan selama itu, manakala Menteri Kesihatan juga berisiko bertukar-tukar dasar. 

 Suruhanjaya itu juga antara menjadi tawaran manifesto parti-parti politik yang mana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) dalam buku Tawaran Harapan PRU15 pernah menawarkan reformasi dalam bidang kesihatan dengan membentuknya.

Pun begitu, gabungan besar kerajaan Persekutuan antara PH dengan Barisan Nasional (BN) membuatkan Kabinet tidak dapat membuat keputusan secara sepihak. 

Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang di Dewan Rakyat juga pernah berikrar membentuk suruhanjaya perkhidmatan kesihatan untuk menangani masalah dihadapi doktor dan meningkatkan peruntukan untuk sektor kesihatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Sementara itu, Zaliha berkata, antara kelemahan sistem kesihatan negara yang telah dikenal pasti ketika negara dilanda Covid-19 ialah premis dan fasiliti kesihatan tidak dapat menampung keperluan kemasukan pesakit yang terlalu ramai dan kekurangan peralatan seperti tangki oksigen dan alat bantuan pernafasan (ventilator).

Katanya, terdapat kekurangan peralatan pelindungan diri (PPE), ubat-ubatan, petugas kesihatan dan perkhidmatan yang tidak sepenuhnya menggunakan teknologi dan digitalisasi di samping sistem kesihatan negara yang tidak bersedia untuk berdepan dengan suasana pandemik ketika itu.

“Situasi ini telah jelas menunjukkan terdapat keperluan untuk memperkukuh lagi sistem penjagaan kesihatan bagi memastikan rakyat mempunyai akses yang saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan lancar,” katanya.

Katanya, kekurangan yang dikenal pasti merupakan isu yang diwarisi dan diburukkan dengan situasi luar jangka Covid-19, namun, ia telah diatasi dengan sebaik mungkin ketika pandemik dengan pelbagai cara dan pendekatan.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai [PH-Cheras] yang ingin tahu kekurangan yang telah dikenal pasti dalam sistem kesihatan negara terutamanya semasa pandemik Covid-19. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN