PARLIMEN: Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi akan diteruskan  - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi akan diteruskan 

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan meneruskan Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) sebagai acara tahunan berikutan impak positif daripada penganjuran sulungnya pada Mei lalu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, empat memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dan tiga pertukaran surat niat dengan tiga syarikat tempatan berjaya dilaksana menerusi forum diadakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

“Projek ini sudah dan sedang digerakkan oleh setiap pasukan projek mengikut Carta Perbatuan yang ditetapkan dan dipantau sebuah jawatankuasa di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) iaitu Jawatankuasa Khas Kerjasama Strategik dan Jaringan Antarabangsa.

“Sekiranya semua potensi itu dapat direalisasikan, kita menganggarkan sumbangan kepada ekonomi sebanyak RM44 juta hanya daripada empat MoU dan tiga surat niat yang ditandatangani pada tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu kata Arthur, sebanyak 10 syarikat teknologi angkasa tempatan sudah bergabung membentuk Malaysian Space Industry Corporation (MASIC) bagi mewujudkan ekosistem industri angkasa dinamik, sekali gus mempromosi keupayaan angkasa Malaysia.

Jelasnya, MASIC ditubuhkan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bagi menghimpunkan pemain industri angkasa tempatan ke arah membangunkan industri angkasa negara.

“MYSA dengan kerjasama MIGHT juga sudah memulakan perbincangan mengenai kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye dalam teknologi angkasa.

“Kerjasama ini akan menumpukan aspek perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dalam teknologi pembuatan satelit,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanyakan usaha MOSTI untuk meluaskan penggunaan perkhidmatan internet melalui Starlink dengan melancarkan satelit milik negara supaya negara tidak perlu bergantung kepada pihak lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN