(PARLIMEN): Demarche ini bukannya ugutan

(PARLIMEN): ‘Demarche’ ini bukannya ugutan kata Wan Fayshal pada PM

WAN Ahmad Fayhsal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang Perikatan Nasional (PN) masih tidak berpuas hati dengan jawapan diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung ‘ancaman‘ diterima dari negara luar susulan pendirian Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada Palestin. 

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Anwar seolah-olah memberi mesej salah apabila menyebut perkataan ‘demarche’ atau merujuk kepada tatatindak yang sebenarnya bukanlah bentuk ugutan terhadap kerajaan Malaysia. 

“Beliau anggap demarche ini ugutan. Bagi saya, ia tidak tepat. Istilah ugutan ada impak yang serius terhadap hubungan luar dan mana-mana negara. 

“Saya tanya negara mana lagi yang ugut Malaysia? Beliau tidak jawab. Kami perlukan jawaban dari Wisma Putra kerana kami perlu respons dari segi protes kita kepada negara pengancam tersebut. 

“Sebab itu juga kami minta wajar kalau diboikot sidang APEC (Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) demi mempertahan pendirian dan solidariti terhadap Palestin,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, demarche hanya bentuk pertanyaan melalui saluran diplomatik Amerika Syarikat ke atas Malaysia berhubung pendirian berkenaan isu di Palestin. 

“Ini saya yakin selalu dibuat, malah, kalau ikut sejarah diplomasi dan dasar luar Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu lebih lantang dan berani dalam isu ini. 

“Tetapi, beliau sendiri tidak pernah sekali pun kata diugut. Sebab istilah ini serius dan merupakan ancaman terhadap negara,” katanya. 

Pagi tadi, Anwar memberitahu Dewan Rakyat ancaman dan tekanan diterima Malaysia dari negara Barat yang menyokong Israel menyaksikan kerajaan menerima tiga notis tata tindak (demarche) daripada Kedutaan Amerika Syarikat kerana keengganan Malaysia menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Anwar berkata, kerajaan antaranya menerima tekanan menyaksikan Duta Besar Malaysia di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkenaan isu kekejaman dan serangan zionis Israel terhadap rakyat di Palestin.  

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengenai bentuk ancaman diterima Malaysia daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel susulan pendirian Malaysia terhadap Palestin. 

Pada 28 Oktober lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Anwar bersikap pengecut selepas mengeluarkan kenyataan diugut negara-negara Barat kerana lantang menyuarakan isu serangan zionis Israel terhadap Palestin.

Beliau ragu-ragu jika ugutan itu benar atau setakat rekaan semata-mata dalam keadaan perang di Gaza itu kini menjadi bahan berita utama di peringkat global.

Semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Oktober lalu, Anwar di hadapan lebih 10,000 orang ramai mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika. 

Keesokannya, Anwar mendedahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah berhubung kelantangan Malaysia berhubung isu Palestin.

Bagaimanapun, tegasnya, Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak akan menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN