KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses meminda Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238). bagi mengembalikan peruntukan undang-undang berhubung penyelarasan pencen.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 3 dan 7 dalam Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (Akta A1447) tidak sah dan terbatal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, mahkamah sebelum ini memutuskan pindaan terhadap peruntukan berkenaan kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam dan mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.
“Oleh itu, kerajaan sedang dalam tindakan meminda Akta 238 berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong [PH-Kota Melaka] jika kerajaan bercadang meminda Akta 238 susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan jika Akta 238 masih terpakai bagi tujuan penyelarasan pencen.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini sebulat suara memutuskan peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Mahkamah menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah. – UTUSAN