Pameran SDSI rancakkan aktiviti keusahawanan, koperasi

Pameran SDSI rancakkan aktiviti keusahawanan, koperasi

EWON Benedick (dua dari kanan) merasmikan pameran SDSI Madani peringkat kebangsaan bertempat di MITC, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah menganjurkan pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Madani peringkat kebangsaan bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, Sabtu lalu.

Kuskop dalam kenyataan berkata, program dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick itu bertujuan menyediakan medium pemasaran produk atau perkhidmatan SDSI yang berkualiti.

Katanya, imej produk atau perkhidmatan SDSI dapat ditingkatkan, di samping memberi pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI berpotensi dan berkualiti serta memperluaskan rantaian perniagaan.

“Menerusi platform ini ia turut memberi peluang kepada Kuskop dan Kerajaan Negeri Melaka serta agensi-agensi kerajaan untuk menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi melalui sesi taklimat, pameran kepada usahawan, koperasi dan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup rakyat, Kuskop berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengadakan Jualan Madani Koperasi (JMK).

Menurutnya, barang keperluan asas seperti beras, telur dan minyak masak ditawarkan pada kadar yang berpatutan dan lebih murah berbanding pasaran.

“Kuskop turut bekerjasama dengan kementerian lain melalui penganjuran Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jualan Agro Madani oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Program-program ini akan memanfaatkan rakyat, usahawan dan anggota koperasi dalam mendapatkan barang keperluan asas pada kadar harga yang berpatutan.

“Kuskop berharap dengan pelaksanaan program kali ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi dalam kalangan usahawan SDSI di seluruh negara. Ini adalah selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia Madani di bawah tonggak kesejahteraan yang membawa maksud keseimbangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya