DARO: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Batang Lassa, di sini diperluas ke kawasan hilir dan muara sungai dalam radius dua kilometer dari tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, operasi SAR hari kedua dijalankan sekitar pukul 9 pagi ini dengan mengaktifkan kaedah ‘water surface searching’.
“Berdasarkan kronologi kejadian, tiga dikhuatiri dibawa arus manakala seorang selamat. Saksi kejadian tidak dapat menyelamatkan semua mangsa. Ketika kejadian keadaan air surut, keruh dan arus deras kedalaman lebih kurang lima meter di mana tempat terakhir mangsa dilihat,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, kegembiraan empat remaja lelaki mandi di Sungai Batang Lassa bertukar tragedi, apabila tiga daripadanya hilang manakala seorang selamat.
Tiga remaja itu dikenali pasti sebagai Herodias Enggung dan Sebastian Oziel Seman Umpi; berasal dari Rumah Jelam, manakala Aldrin Dambang Allan Kiai dari Rumah Lawrence.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, tiga yang hilang berkenaan masing-masing berusia 13 tahun ketika melakukan aktiviti rekreasi berkenaan di sungai berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal, saksi kejadian memberitahu empat budak lelaki sedang mandi-manda di Sungai Batang Lassa apabila arus air deras menghanyutkan tiga daripada mereka manakala seorang lagi terselamat.
“Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 7.45 petang semalam dan akan disambung semula pagi ini),” katanya. – UTUSAN










