Nilai kerajaan perpaduan hingga habis penggal Disember 2027

Nilai kerajaan perpaduan hingga habis penggal Disember 2027

JOHARI Abdul Ghani beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli semasa berkempen di Kampung Sungai Bot, Pelangai, Bentong, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Keberkesanan kerajaan perpaduan dalam mentadbir negara termasuk soal ekonomi akan dapat dinilai apabila tempoh penggal tamat pada 3 Disember 2027 kelak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam tempoh 10 bulan kerajaan ketika ini, negara berdepan dengan keadaan ekonomi global yang cukup besar.

“Di samping itu, kita juga berdepan dengan cara yang sesuai untuk bekerja dengan parti-parti politik yang ada dalam kerajaan perpaduan. Contohnya PKR, DAP, UMNO dan juga Parti Amanah Negara (Amanah).

“Jadi, apabila seseorang itu menjadi Perdana Menteri, beliau akan susun barisan dan juga pasukannya.

“Ia ibarat main bola sepak, ia tidak boleh main seorang diri, perlu berpasukan, kerajaan pun begitu juga kena ada pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah Kasih Kampung Orang Asli Kampung Sungai Gapoi di sini, semalam.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi 2.9 peratus pada suku tahun kedua 2023 didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

Pertumbuhan pada suku kedua juga dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada suku kedua tahun 2022 apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berikutan kesan pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah dasar.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) berkata, dalam pasukan yang dibentuk, masing-masing mempunyai kepakaran dan perlu mengambil masa menyesuaikan diri daripada segi perjalanan kerajaan.

“Sebab itu tidak ada paksaan dan kita juga tidak boleh paksa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk buat keputusan yang difikirkannya baik kepada negara.

“Jadi bagi masa kepada Perdana Menteri. Jangka masa 10 bulan ini terlampau pendek dari segi mentadbir kerajaan,” katanya

Mengulas isu rombakan Kabinet, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak memberikan tekanan kepada Anwar kerana ia keputusan eksklusif Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau secara peribadi sebagai seorang ahli Parlimen menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar ketika ini.

“Jadi kita kena biarkan Perdana Menteri buat keputusan. Sama ada hendak buat rombakan atau tidak, itu hak mutlak Perdana Menteri. Tidak boleh mana-mana pihak membuat tekanan,” katanya.

Ditanya adakah beliau ada dipinang untuk menjadi anggota Kabinet, Johari yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) berkata, dalam politik tiada pinang meminang.

“Dalam politik mana ada pinang-pinang. Politik ni apabila Anwar jadi Perdana Menteri, beliau akan susun dia punya barisan dan pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN