Nelayan maut bot terbalik

Nelayan maut bot terbalik

SITI Alora Fatihah Mohd. Aziz menunjukkan gambar kenangan bapa dan ibunya ketika ditemui Hospital Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hasrat seorang nelayan darat untuk membeli susu buat isterinya dengan hasil duit jualan ikan sungai tidak kesampaian selepas bot pancung yang dikemudinya terbalik di Sungai Nenggiri, Kampung Star di sini hari ini.

Mayat Mohd. Aziz Ismail, 65, ditemukan lemas pada pukul 8.30 pagi selepas bot pancung yang dinaikinya bersama seorang rakan terbalik.

Anak sulung mangsa, Rosnani, 35, berkata, dia menerima panggilan daripada adik bongsunya yang memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul  9 pagi ketika berada di rumah keluarganya di Kampung Pasir Tumbuh.

“Menurut cerita ibu (Pauziah Abu Bakar, 52,) ayah ada berjanji dengannya untuk membeli susu dengan wang hasil jualan ikan sungai itu.

“Ibu juga berkata ini adalah kali terakhir bapa ke sungai untuk mencari ikan kerana selepas ini akan membantunya menoreh getah,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Rosnani memberitahu, bapanya itu merupakan nelayan darat  dan berpengalaman mencari rezeki di sungai itu sejak berumur 10 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian bot terbalik di Kampung Star pada pukul 12.26 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.30 pagi. 

“Mengikut siasatan awal, seorang pekerja kilang pasir yang terdengar suara orang meminta tolong dari arah sungai.

“Hasil pemeriksaan daripada anggota kesihatan mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia dan seorang lagi telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemukan terhadap mangsa. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN