Negara berdepan krisis, jawatan KPDN perlu diisi segera - Utusan Malaysia

Negara berdepan krisis, jawatan KPDN perlu diisi segera

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kekosongan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu diisi segera memandangkan negara kini berdepan krisis bekalan makanan dan kenaikan harga barangan yang terus menekan kehidupan rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatan itu tidak boleh dipangku oleh menteri lain kerana bukan sahaja membebankan tetapi menimbulkan kecelaruan terhadap bidang tugas masing-masing.

“Sekarang saya nak tanya, siapa Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna? Yang baru meninggal Datuk Seri Salahuddin Ayub, tapi sampai sekarang tidak diisi. Ini krisis, takkan Perdana Menteri nak memangku jawatan itu, lantiklah ahli-ahli Parlimen yang layak dan sesuai.

“Kosong jawatan itu. Pilihan raya dah selesai, di Pulai, di Simpang Jeram, dah ada wakil rakyat. Tetapi tidak diisi, tapi dalam keadaan negara berhadapan satu krisis menteri bertanggungjawab tiada menyelesaikan masalah. Takkan sampai kena sehingga serah kepada menteri lain untuk memangku bagi menyelesai masalah,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Felda Chemomoi di sini semalam.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong setelah Salahuddin meninggal dunia pada Julai dan masih belum diisi, namun tugas itu dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau belum mempunyai keputusan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan seperti diperkatakan sesetengah pihak.

Sebelum ini, sebuah portal mendakwa Anwar dijangka mengumumkan rombakan Kabinet selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan keputusan kerajaan agar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diberikan tugas tambahan mengagihkan bekalan beras di seluruh negara sebagai satu tindakan yang sudah bercelaru.

Beliau berkata, tidak pernah dalam sejarah negara FAMA menghantar beras tetapi langkah itu dilihat dibebankan meskipun ia demi memastikan bekalan keperluan rakyat mencukupi.

“Mana ada kerja FAMA bekal beras? Tuan-tuan ada dengar tak? Kalau bekal sayur, kelapa ada, tapi tidak pernah masuk senarai beras. Beras adalah makanan ruji. Tapi tidak pernah menjadi masalah sebab sistem penghantaran sudah lama, bukan setahun tapi 30-40 tahun.

“Tapi hari ini Haji Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu) Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyampaikan penerangan kepada Perdana Menteri dan memberitahu soal ini (hantar beras) menerusi FAMA. Tidak boleh, ia bukan kerja FAMA, sudah menjadi kerja baharu.

“Nanti (FAMA) tidak boleh hantar sayur sebab nak hantar beras. Jadi masalah kepada petani lain, siapa nak bekal dan urus bekalan daripada pertani? Ini satu langkah bodoh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN