Nadhir jawab dakwaan buat video muzik lucah, tugas sudah selesai - Utusan Malaysia

Nadhir jawab dakwaan buat video muzik lucah, tugas sudah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah video muzik Malampagi nyanyian Saixse, Nadhir Nasar, menegaskan naskhah arahannya hanya memaparkan realiti sebenar tanpa berniat mengajak penonton ke arah kemaksiatan.

Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, menegaskan bahawa mesej lagu dan muzik video Malampagi memberi nasihat baik kepada penonton untuk kembali kepada Allah.

“Prinsip saya di dalam industri untuk menyampaikan mesej, bukan menjadi terkenal atau mengejar pengikut.

“Mesej video muzik itu sangat jelas untuk kembali kepada Tuhan.

“Saya buat pilihan untuk sampaikan yang buruk dan baik namun terpulang kepada penonton untuk buat penilaian,” kata Nadhir kepada Utusan Malaysia.

Nadhir ditemui di majlis sidang media siri drama Superwira baru-baru ini.

Walaupun ada yang menganggap muzik video bersifat provomatif namun pelakon Projek High Council percaya bahawa setiap orang ada selera masing-masing.

“Saya sudah jangka isu ini akan timbul. Saya bukan buat karya provakatif namun saya suka benda realiti. Jadi suka atau tidak, kita kena terima.

“Kita lebih selesa hidup dalam penipuan, dan tak selesa dengan kebenaran,” katanya.

Ditanya adakah pengarah itu gusar sekiranya ada pihak yang ingin video muzik itu diharamkan, menurut Nadhir, itu di luar bidang kuasanya.

“Saya tidak risau untuk diharamkan. Saya sudah lunaskan kerja sebagai pengarah dan terpulang lepada orang luar untuk menilai,” jelasnya.

Terdahulu seorang pengguna mengkritik video muzik arahan Nadhir dan beranggapan lirik serta muzik video lagu itu berunsur lucah di samping memaparkan nilai gejala sosial.

Individu tersebut turut mempertikaikan mengapa video berkenaan terus dimainkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN