ALOR GAJAH: Pengalaman ngeri dialami seorang murid darjah empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun, Arif Rahimi Mohamad Hilmi, 10, dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan menggunakan laluan pejalan kaki di hadapan sekolahnya, tengah hari kelmarin (Khamis) sukar untuk dilupakan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Arif Rahimi berkata, bagaimanapun dia tidak berasa trauma walaupun mengalami retak tulang pada bahagian kaki kiri dan selangka tangan kiri akibat insiden itu.
“Ketika kejadian saya sedang melintas di garisan kuning lintasan bersama empat rakan yang lain, ketika itu pengawal keselamatan dan seorang guru memberi kebenaran kami melintas selepas balik sekolah.
“Empat rakan yang lain lepas melintas tetapi saya terkena cermin sisi sebelah kiri kereta jenis Perodua Myvi menyebabkan saya jatuh di atas jalan raya.
“Saya tidak takut atau rasa trauma dengan apa yang terjadi. Saya hendak pergi sekolah selepas cuti sakit selama dua minggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan kerana mengalami retak tulang bahu dan kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, polis percaya kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohamad Hilmi Bahari, 38, berkata, dia menerima panggilan daripada guru besar pada pukul 1.34 petang memaklumkan perihal kejadian.
Jelasnya, anaknya mendapatkan rawatan sehingga pukul 4.00 petang kelmarin (Khamis) sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Ketika itu saya sedang bertugas lalu menghubungi isteri yang ketika itu sedang mengajar di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zin. Isteri saya sampai dulu dan mengiringi anak saya mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah,” katanya.-UTUSAN