SHAH ALAM: Kerajaan dicadang menubuhkan suruhanjaya dengan perkenan Majlis Raja-raja bagi mengkaji semula agihan kuasa antara Persekutuan dan negeri yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan selama lebih enam puluh tahun.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad berkata, pemusatan kuasa terlalu besar kepada Kerajaan Persekutuan yang lebih kepada enam dekad dilihat memberi banyak masalah.
Katanya, ia antaranya ketirisan, salah guna kuasa sewenang-wenangnya, ketidaktatakelolaan dan servis yang tidak baik kepada rakyat.
Malah, katanya, pihaknya juga melihat diskriminasi secara terang-terangan negeri ditadbir parti lawan atau gabungan parti yang dilihat berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.
“Suruhanjaya itu di mana keanggotaannya rentas negeri, parti, kaum dan bangsa. Kedua, dalam tempoh semakan ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu menghormati dan mematuhi segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan agihan kuasa.
“Ketiga, mempertimbangkan (agihan) kuasa secara serius dengan memberikan lebih kuasa kepada negeri-negeri, bukan sahaja kepada Sabah dan Sarawak, bahkan negeri-negeri (lain) bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Keempat, mewujudkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lebih baik dalam pelbagai aspek pelaksanaan kuasa-kuasa yang terkandung dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mencadangkan usul yang dibawa Dewan Muslimat Pas Pusat dan Dewan Pemuda Pas Pusat di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini.
Mengulas lanjut, Siti Mastura berkata, kerajaan juga disarankan untuk tidak bersikap dwistandard sama ada dari segi layanan kepada ketua kerajaan atau mana-mana kakitangan negeri dalam agihan peruntukan serta projek pembangunan.
“Keenam, mansuhkan agensi atau mana-mana badan berkanun yang ditubuhkan semata-mata untuk mengalihkan peruntukan pembangunan negeri atau projek pembangunan atau projek yang tidak berada dalam pengetahuan dan kawalan Kerajaan Negeri.
“Ketujuh, kukuhkan hubungan antara negeri melalui dasar State-Government 4 (SG4). Kerjasama ini kita lihat boleh digabungkan kerjasama dan khususnya melibatkan kesejahteraan rakyat diantaranya keselamatan makanan, nadir bumi, pendidikan, sahsiah, jenayah dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN