Muktamar: DAP penghalang Pas sertai Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Muktamar: DAP penghalang Pas sertai Kerajaan Perpaduan

Muktamar Pas 2023
PERWAKILAN menghadiri Muktamar Pas 2023 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: DAP didakwa kekal menjadi penghalang kepada Pas sekiranya parti itu dijemput untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, bagaimanapun sehingga kini tiada jemputan secara rasmi diterima atau sebarang perbincangan di peringkat dalaman menyentuh soal kerjasama tersebut.

“Setakat hari ini tidak masuk PH, pada kita adalah DAP merupakan satu penghalang kepada kita, itu kena clear cut.

“Kami tidak pernah berbincang untuk bersama dengan PH, saya pimpinan tertinggi daripada Syura dan juga terlibat dalam jawatankuasa pusat, hal ehwal politik dan dewan harian dan juga Majlis Tertinggi PN kita tidak pernah berbincang.

“Kita moving forward untuk mengukuhkan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti. Sekarang, kita tidak bincang dengan parti-parti lawan (termasuk UMNO),” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pas masih belum menerima sebarang tawaran atau jemputan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mendakwa hal itu hanya dinyatakan dalam satu temubual oleh media sahaja.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang tawaran dibuat oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pernah menyatakan hasrat tersebut dalam satu temubual bersama Times Magazine sebelum ini.

Dalam pada itu, Idris turut mengingatkan kepada anggota di seluruh peringkat parti supaya tidak menganggap pencapaian Pas dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sebagai suatu keselesaan.

Sebaliknya, perkara itu perlu menjadi penanda aras kepada semua peringkat untuk bekerja lebih keras bagi mengekalkan kejayaan dalam pilihan raya akan datang.

“Ini satu ucapan yang menyeluruh terutamanya selepas PRU15 dan ini juga satu hala tuju jelas kepada para petugas dan kita anggap kemenangan cemerlang baru-baru ini bukan sesuatu keselesaan, tetapi hambatan untuk terus cemerlang dalam PRU16,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya