KUALA LUMPUR: Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri menerima teguran netizen gara-gara sekeping gambarnya bersama pelakon itu yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.
Meskipun perkongsian itu dibuat Nurul Shuhada untuk mempromosikan produk pelangsingan badan, sejumlah besar pengikutnya di platform tersebut menyifatkan tindakannya sebagai tidak wajar kerana dia dan Hafidz bukan lagi pasangan suami isteri.
“Memang untuk kerja, tapi jauh lebih baik tak perlu nak kaitkan masa lampau dengan masa depan kita. Saya pasti banyak gambar lain yang lebih menonjol lemak itu.
“Berdamai dengan takdir Allah dan lupakan yang lepas. Kita boleh tipu orang dah move on tapi cara dan perbuatan kita akan tunjuk yang sepatutnya.
“Andai kata betul sudah move on, jangan la guna populariti atau gosip macam ini sebagai punca rezeki diri dan anak-anak. Jangan libatkan dia (Hafidz). Jangan ada sifat dendam dengan masa lalu. Biar kejahatan dia Allah yang balas, Insya-Allah hidup lebih tenang,” tulis netizen di ruangan komen.
Nurul Shuhada dalam hantaran tersebut menggunakan gambarnya bersentuhan dengan Hafidz sebagai kandungan untuk membandingkan fizikalnya dulu dan sekarang.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.
Pasangan tersebut bagaimanapun disahkan bercerai talak satu pada Februari tahun ini.