PETALING JAYA: Management & Science University (MSU) menerima pengiktirafan sebagai Universiti Terbaik Malaysia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Anugerah Malaysia Education & TVET 2023 (META 2023) baru-baru ini.
Anugerah itu dianjurkan penerbitan Education + TVET Asia.
Menurut kenyataan MSU, anugerah berprestij tersebut disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud kepada Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid.
Yang turut hadir Pengerusi Koperasi Pendidikan Swasta Malaysia Bhd., Datuk R. Rajendran dan Editor Pengurusan Education + TVET Asia, Lee Seng Chee.
MSU memberitahu, pengiktirafan tersebut menyerlahkan komitmen universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang membuka jalan bagi pendidikan berteraskan TVET di Malaysia dan peringkat global.
“Pelaksanaan pelbagai strategi inovatif dengan memberikan penekanan khusus kepada elemen TVET merentasi silibus pelbagai program pengajian juga telah memperkasakan lagi aspirasi ini,” katanya.
Katanya, kejayaan itu merupakan kesinambungan kepada pengiktirafan Accreditation Services for International Schools, Colleges & Universities (ASIC) berpangkalan di United Kingdom apabila menganugerahkan MSU sebagai Global TVET Model University dan Outstanding Leadership in International TVET Education pada 2018.
“Edisi ke-2 META 2023 diadakan bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan organisasi dan individu dalam memperkasakan program TVET di Malaysia.
“Pemenang adalah dinilai berdasarkan kriteria seperti kepimpinan, produktiviti, inovatif, kelestarian, kecemerlangan jenama, kecemerlangan perkhidmatan dan produk, serta kecemerlangan start-up baru,” katanya. – UTUSAN