MPM, UiTM hidupkan kembali bandar Lumut

MPM, UiTM hidupkan kembali bandar Lumut

SYAMSUL Hazeman Md. Salleh (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani selepas menandatangani MoU di bangunan MPM, Seri Manjung, Lumut, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka bidang penyelidikan dan kajian dalam menjadikan Manjung sebagai kawasan pintar, mapan, sejahtera serta memiliki karakternya sendiri.

MoU yang berkuat kuasa selama tiga tahun itu ditandatangani Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh dan Timbalan Rektor UiTM Kampus Seri Iskandar, Prof. Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani, di sini semalam.

Menurut Syamsul Hazeman, kerjasama antara kedua-dua pihak tidak terbatas dalam satu aspek sahaja sebaliknya menyeluruh dan meliputi aspek perancangan, pembinaan, penguatkuasaan dan pelaksanaan.

“Menerusi MoU, kami akan memperoleh pandangan pihak ketiga dalam setiap perancangan, iaitu bukan hanya pandangan yang datang daripada pihak MPM dan komuniti sahaja.

“Jadi, kami berharap tenaga pakar dalam UiTM mungkin dapat melihat (sesuatu perancangan) daripada sudut yang lebih jauh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

Menurutnya, antara perkara yang diharapkan adalah ‘menghidupkan kembali’ bandar Lumut termasuk melibatkan bidang kesenian dan rekaan kerana elemen perbandaran masa kini perlu hadir dengan keceriaan, bukan hanya dipenuhi binaan bangunan sahaja.

Sementara itu, Muhamad Abdul Aziz pula berkata, banyak negara sekarang sudah melangkah ke arah menjadikan bandar didiami bukan sahaja sebagai bandar pintar tetapi juga menjadi warisan sekali gus memiliki karakter tersendiri.

Katanya, apabila konsep bandar pintar sudah sebati dengan komuniti iaitu kurang kebergantungan kepada kerajaan, maka masyarakat mahu warisan sesuatu tempat itu pula dipulihara.

Dalam pada itu, beliau berhasrat mewujudkan satu platform bagi memberi peluang kepada orang ramai mengemukakan cadangan atau pandangan melibatkan pelbagai isu perbandaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×