Mesir belum benarkan misi bantuan ke Rafah - Utusan Malaysia

Mesir belum benarkan misi bantuan ke Rafah

PENDUDUK Palestin berjalan di sebalik bangunan yang runtuh susulan serangan rejim zionis di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Mesir masih belum membenarkan mana-mana misi bantuan kemanusiaan termasuk Malaysia memasuki sempadan Palestin bagi menghulurkan bantuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, pada masa ini Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir menjadi satu-satunya organisasi yang dibenarkan memasuki sempadan ke Rafah.

Katanya, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan kebenaran untuk sekurang-kurangnya setakat di bandar Al-Arish jika tidak dapat sampai ke Rafah.

“Untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahu masuk ke Gaza memang susah kerana Mesir tidak membenarkannya, namun kami akan terus mencuba dan jika tidak sampai ke Rafah, sekurang-kurangnya ka­mi cuba sampai ke Al-Arish.

“Kira-kira 40 trak dibenarkan melintasi sempadan Rafah, namun, ini masih tidak cukup dan kebanyakan sukarelawan termasuk MCM masih me­nunggu untuk dibenarkan ma­suk,” katanya di sini semalam.

Katanya, selepas melepasi lintasan Rafah, muatan terpaksa dipindahkan ke PBSM kerana pihak berkuasa tidak membenarkan lori daripada Mesir meneruskan perjalanan di Gaza.

“Buat masa ini usaha ditumpukan untuk membawa bantuan kami bersama PBSM untuk sekurang-kurangnya sampai ke Al-Arish,” katanya.

Minggu lalu MCM membe­ritahu, pihaknya bersama gabungan NGO Miles of Smiles berjaya mengumpulkan pelbagai jenis peralatan perubatan untuk dihantar ke Gaza.

Sejumlah RM500,000 sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM turut dimanfaatkan untuk tujuan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN