Agrobank sasar bangunkan 1,000 usahawan halal di Sarawak - Utusan Malaysia

Agrobank sasar bangunkan 1,000 usahawan halal di Sarawak

ABDUL Halek Abdullah (empat dari kiri) dan Sharifah Noorlaila (lima dari kiri) bergambar selepas memeterai kerjasama strategik antara Agrobank dan Pertubuhan Usahawan Halal Sarawak (HalalPreneur Sarawak).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank menyasarkan untuk mengenal pasti dan membangunkan sekurang-kurangnya 1,000 usahawan di Sarawak dalam tempoh tiga tahun menerusi kerjasama strategik dengan Pertubuhan Usahawan Halal Sarawak (HalalPreneur Sarawak).

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh pembangunan usahawan halal di negeri berkenaan menerusi bimbingan Pensijilan Halal Malaysia, pembangunan kapasiti, akses kepada pembiayaan serta peluang pasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 700 usahawan akan diberikan pendedahan dan bimbingan berkaitan kesedaran serta keperluan pensijilan halal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 500 usahawan yang mencapai tahap kesiapsiagaan dan memenuhi kriteria ditetapkan akan menerima bimbingan khusus ke arah mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia.

“Pensijilan halal dapat meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh kredibiliti produk dan membuka peluang pasaran yang lebih luas.

“Melalui kerjasama dengan HalalPreneur Sarawak, Agrobank dapat memahami keperluan usahawan dengan lebih dekat serta menyediakan sokongan yang lebih bersasar menerusi inisiatif Halal@Agrobank yang dilancarkan baru-baru ini.

“Inisiatif ini merangkumi aspek kesiapsiagaan halal, bimbingan pensijilan, pembiayaan, peningkatan kapasiti perniagaan dan akses pasaran bagi membantu usahawan membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Pelaksanaan inisiatif pembangunan ekosistem halal Agrobank diterajui Jabatan Agrobank Centre of Excellence (ACE) menerusi Halal@Agrobank.

Inisiatif itu berteraskan pelan hala tuju pembangunan usahawan yang menyediakan sokongan bersepadu merangkumi kesedaran dan kesiapsiagaan halal, bimbingan pensijilan, pembangunan kapasiti, pembiayaan serta akses pasaran.

HalalPreneur Sarawak yang kini mempunyai 120 ahli menyediakan jaringan strategik kepada Agrobank untuk memperluas jangkauan kepada usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak, khususnya mereka yang berpotensi mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia dan mengembangkan perniagaan.

Setakat ini, tiga program bersama telah dilaksanakan di Kuching, Daro dan Lundu, melibatkan lebih 200 usahawan.

Program berkenaan memberikan pendedahan dan bimbingan mengenai kepentingan pensijilan halal serta persediaan yang diperlukan dari aspek operasi, dokumentasi, premis, bahan mentah dan ramuan, selain pematuhan terhadap keperluan pensijilan.

Beliau berkata, bagi menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan di Sarawak, Agrobank turut menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM10 juta kepada usahawan yang memenuhi kriteria kelayakan.

“Pembiayaan ini bertujuan untuk menyokong keperluan usahawan dalam proses pensijilan halal, perolehan peralatan, peningkatan kapasiti pengeluaran serta pengembangan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.

“Agrobank akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan ekosistem keusahawanan halal yang lebih tersusun dan berdaya saing di Sarawak.

“Melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi bimbingan, pembiayaan dan akses pasaran, usaha ini diharapkan dapat membantu lebih ramai usahawan tempatan memperoleh Pensijilan Halal Malaysia, meningkatkan kapasiti perniagaan serta meneroka peluang pasaran yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×