MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meluaskan skop agihan fidyah kepada pelajar kurang berkemampuan di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pengagihan itu melibatkan wang fidyah sebanyak RM397,000 daripada keseluruhan RM2.1 juta yang dikutip bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Beliau berkata, ia diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah kategori B40 di bawah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) serta mahasiswa yang sedang menuntut di lima IPT terpilih di negeri ini.
“Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil telah meluaskan skop agihan fidyah ini kepada kepada pelajar kurang berkemampuan di peringkat sekolah serta IPT. Sebelum ini agihan fidah hanya tertumpu kepada golongan fakir miskin yang berdaftar dengan MAIM dan diagihkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).
“Kita lihat ada keperluan membantu anak-anak ini dalam bentuk barang makanan. Perkara ini diluluskan tahun ini dalam Mesyuarat Fatwa Negeri Melaka 2023 lalu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jom Mengeteh Dengan Abang Beca di sini, semalam.
Tambah Rahmad, agihan fidyah untuk mahasiswa melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Melaka (Unimel), Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Menurutnya, seramai 100 pelajar di setiap IPT menerima RM50 seorang selama 10 bulan.
“Kita juga agihkan sebanyak RM150 kepada pelajar sekolah rendah dan agama di SABK secara sekali bayar membabitkan 70 pelajar B40 dari 14 sekolah terlibat,” ujarnya. – UTUSAN