MCA sedia kerjasama dengan DAP demi rakyat, negara

MCA sedia kerjasama dengan DAP demi rakyat, negara

LING Tian Soon ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon beritahu partinya sedia mengetepikan perbalahan lampau dengan mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuklah DAP.

Beliau yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Pemuda MCA Pusat pada 21 Oktober ini berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama demi kesejahteraan rakyat negara ini.

“Senario politik semasa telah banyak berubah. Dahulu MCA di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala sekarang kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Jadi MCA perlu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan berbincang dengan semua pihak, termasuklah bersama DAP. Jika demi kebaikan rakyat dan negara, apa salahnya,” katanya.

Tambah Tian Soon yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, pihaknya enggan membuat sebarang tuntutan jawatan berhubung khabar angin rombakan Kabinet yang dijangka bakal dibuat, baru-baru ini.

“MCA tidak minta sebarang kerusi kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan, ada atau tidak kita tetap akan bekerjasama dalam melaksanakan reformasi terhadap kerajaan.

“Apapun itu adalah hak dan keputusan muktamad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita hormati,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk mengembalikan kegemilangan MCA seperti suatu ketika dahulu semasa dibawah pimpinan kerajaan BN.

“Kita perlu bangkit kembali, parti perlu adakan pelbagai program untuk memastikan MCA terus kekal relevan dalam membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×