PETALING JAYA: MCA berpandangan tiga langkah segera perlu dilakukan oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan penderitaan yang dihadapi oleh Palestin akibat kekejaman Israel.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tiga langkah tersebut adalah mengenai gencatan senjata, mewujudkan koridor kemanusiaan dan menubuhkan sebuah badan pemerhati bebas.
Kata beliau, tiga langkah itu perlu diambil untuk mengelakkan penderitaan berpanjangan orang awam yang tidak bersalah di Palestin akibat serangan daripada Israel.
“Salah satunya adalah agar masyarakat antarabangsa menggesa gencatan senjata segera oleh kedua-dua pihak bagi meminimumkan kehilangan nyawa di Palestin.
“Kita juga perlu mewujudkan koridor kemanusiaan untuk mendapatkan bantuan yang amat diperlukan ke Gaza.
“Selain itu, sebuah badan pemerhati bebas perlu diwujudkan untuk memantau keadaan di lapangan bagi mengelakkan krisis meningkat dan lebih banyak nyawa terkorban,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ka Siong berkata demikian selepas Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali melakukan kunjungan ke pejabatnya di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, beliau dan Walid membicarakan tentang kesukaran yang sedang ditempuh rakyat Palestin ketika ini akibat kezaliman rejim Zionis.
“Saya mengulangi pendirian bahawa kezaliman dan penindasan terhadap orang awam ini mesti dihentikan segera,” katanya.
Tambahnya, pemuda MCA pada minggu hadapan akan menyerahkan memorandum ke Pejabat Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur untuk menyatakan solidariti parti tersebut kepada rakyat Palestin.
“MCA berpandangan bahawa ini adalah isu politik yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa serta memerlukan empati terhadap mereka yang menderita akibat perang,” ujarnya.-UTUSAN










