PETALING JAYA: Semua masjid digalak mengadakan pelbagai aktiviti seperti sukan dan riadah yang boleh menarik minat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan jantina bagi mengimarahkan rumah ibadah tersebut.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu secara tidak langsung mereka ini dapat menunaikan solat fardu secara berjemaah dan berazam untuk datang lagi ke masjid.
Baginda bertitah, memakmurkan masjid dengan solat fardu, ibadah iktikaf adalah sebahagian dari tanda-tanda keimanan seseorang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudian menzahirkan agar semua institusi agama khususnya di Perlis diminta supaya terus memainkan peranan masing-masing bagi mengimarahkan masjid mengikut segala garis panduan yang ditetapkan.
“Masjid adalah rumah untuk beribadah dan madrasah untuk mengenali ilmu, tempat kaum Muslimin bertemu dan berpisah. Masjid juga menjadi medan bagi mengumpulkan bekal kerohanian dan cahaya ilmu.
“Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mengembalikan keagungan masjid ke dalam hati kita,” titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat merasmikan penggunaan Masjid Ibadur Rahman di Chroy Metrey, Wilayah Kandal, Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Usai majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pengislaman saudara Islam baru seramai 20 orang.
Dalam pada itu, Setiausaha Kementerian Agama Kemboja, Yob Ahskary berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan besar Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia bersama-sama Majlis Agama Islam Perlis dan juga beberapa lagi rakan strategik kerana menyediakan dana secukupnya bagi menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf masjid itu.
Katanya, turut disalurkan ialah sumbangan tunai kepada seramai 151 orang anak yatim dan beberapa projek sampingan yang lain lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Koperasi Muslim Cambodia, Him Komry berkata, koperasi mereka juga memerlukan bantuan dana bagi menjayakan sebuah Projek Pembinaan Sekolah Perempuan (Maahad Al-Banat) sebagai institusi pendidikan Islam secara perintis yang menggabungkan kurikulum pendidikan Islam dan akademik biasa. – UTUSAN










