KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, ancaman dan tekanan diterima Malaysia dari negara Barat yang menyokong Israel menyaksikan kerajaan menerima tiga notis tata tindak (demarche) daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), kerana keengganan Malaysia menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Perdana Menteri berkata, pihaknya melalui Kementerian Luar telah menerima notis tersebut sebanyak dua kali pada 13 Oktober dan 30 Oktober lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tarikh satu lagi notis rasmi yang dihantar terus kepada duta besar Malaysia di Washington.
“Oleh kerana keengganan Malaysia membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat melalui Kementerian Luar sudah menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali.
“Kerajaan diminta supaya negara tidak meneruskan dengan pendirian terutama keengganan kita (Malaysia) untuk menganggap Hamas sebagai pengganas.
“Saya telah jawab dalam majlis di stadium sebelum ini dan saya tegaskan Malaysia kekal pendirian bebas kita, mempertimbang aspek kemanusiaan dan menganggap pencerobohan (Israel) itu haram dari undang-undang dan kaedah antarabangsa,” katanya pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan menerima tekanan menyaksikan Duta Besar Malaysia di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Katanya, Duta Besar Malaysia telah ditekan oleh jabatan negara itu mengenai pendirian Malaysia berkenaan isu kekejaman dan serangan zionis Israel terhadap rakyat di Palestin.
“Duta Besar kita di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin.
“Bagaimanapun, saya menegaskan, sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak menyuarakan pandangan dalam isu semasa khususnya melibatkan hak kemanusiaan sejagat.
“Meskipun berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] mengenai bentuk ancaman diterima Malaysia daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel susulan pendirian Malaysia terhadap Palestin.
Beliau juga bertanya mengenai langkah diambil oleh Malaysia bagi menghadapi segala ancaman supaya tidak memberi kesan terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Pada 28 Oktober lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Anwar bersikap pengecut selepas mengeluarkan kenyataan diugut negara-negara Barat kerana lantang menyuarakan isu serangan zionis Israel terhadap Palestin.
Beliau ragu-ragu jika ugutan itu benar atau setakat rekaan semata-mata dalam keadaan perang di Gaza itu kini menjadi bahan berita utama di peringkat global.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, jika benar seperti didakwa, Wisma Putra hendaklah mengeluarkan bantahan sekeras-kerasnya menerusi kedutaan negara tersebut.
“Kenyataan Perdana Menteri beliau diugut oleh negara kuasa besar menunjukkan sikap pengecut beliau. Entah benar atau tidak wujud ugutan tersebut juga tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Sehingga kini beliau gagal mendedahkan negara mana yang membuat ugutan itu. Jika benar wujud ugutan, Perdana Menteri mesti mendedahkan negara manakah yang membuat ugutan itu. Ini maruah negara kita yang mesti dipertahan,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Oktober lalu, Anwar di hadapan lebih 10,000 orang ramai mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika.
Keesokannya, Anwar mendedahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah berhubung kelantangan Malaysia berhubung isu Palestin.
Bagaimanapun, tegasnya, Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak akan menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini. – UTUSAN










