Malaysia guna semua saluran diplomatik henti kezaliman di Gaza

Malaysia guna semua saluran diplomatik henti kezaliman di Gaza

ANWAR Ibrahim berucap pada Persidangan Pertubuhan Undang-Undang ASEAN di Hotel Shang-Ri La, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggunakan segala saluran diplomatik yang ada dengan kerjasama negara sekutu antarabangsa dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen Malaysia dalam isu konflik di Palestin tidak perlu diragu atau dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Apa yang kita saksikan di Gaza amat sukar untuk diterima termasuk bagi mereka yang biasa melihat kesannya akibat kebencian, kezaliman dan keganasan.

“Penderitaan mereka tidak terhenti terhadap tragedi yang menimpa bahkan malapetaka yang menanti,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean ke-14 dan Persidangan Undang-Undang Asean 2023 di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, tragedi yang menimpa rakyat di Gaza pada saat ini ada kaitannya dengan undang-undang justeru, beliau menggesa semua pihak berdiri teguh mempertahankannya ketika bencana besar sedang berlaku.

“Itulah yang sepatutnya (dipertahankan) terutama membabitkan negara-negara di dunia yang sentiasa mendakwa bahawa mereka mendukung tuntutan undang-undang antarabangsa.

“Bagaimanapun, pada masa sama ia tiada kaitannya dengan undang-undang kerana negara yang sama juga cepat menangguhkan sebarang rundingan apabila ia membabitkan pendudukan kejam terhadap Palestin dan mengabaikan undang-undang antarabangsa iaitu Israel,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia berdiri teguh dalam mempertahan undang-undang antarabangsa malah keselamatan dan kemakmuran dikecapi pada masa kini adalah sumbangan undang-undang yang dikuatkuasakan berkaitan interaksi sesama negara.

“Tetapi keluhuran (undang-undang) sukar untuk dipercayai apabila ada sesetengah negara mempunyai komitmen tinggi terhadap kuasa ketenteraan untuk pendudukan, bernaluri kejam, bertujuan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dan zalim,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak untuk menghayati kerjasama dan menyedari bahawa apabila sumber, idea serta bakat yang ada dikumpulkan, ia mencipta kekuatan yang mampu mengatasi sebarang cabaran.

“Sekarang adalah masa untuk bertindak. Bersama-sama, kita membentuk legasi yang akan diraikan untuk generasi mendatang,” katanya.

Konflik peperangan Israel – Palestin di Gaza semakin meruncing apabila jumlah mangsa yang terkorban kini mencecah 4,000 orang dengan sebahagian besarnya adalah membabitkan kanak-kanak dan wanita manakala lebih 10,000 mengalami kecederaan.

Kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin memuncak apabila membedil sebuah hospital di Bandar Gaza sehingga mengakibatkan lebih 500 nyawa terkorban dan mengundang kecaman di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya