KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menyelesaikan perkara-perkara lain dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, sejak mengambil alih kerajaan, beliau dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sedaya upaya melaksanakan apa yang dijanjikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Apa dijanjikan adalah hasil muafakat kerajaan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan tugas generasi seperti kita tentulah laksanakan apa yang telah dijanjikan.
“Dah ada perjanjian jelas, kita mesti laksanakan sedaya upaya kita dan ini telah kita laksanakan.
“Saya beri jaminan hubungan sesama erat dengan sahabat saya Hajiji, kita akan terus tingkatkan usaha dan dengar apa-apa perkara lain yang perlu kita usahakan,” katanya semasa perasmian Konvensyen Perdana Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi-Agensi Agama seluruh Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang menarik balik saman pemula berkaitan isu pelaksanaan MA63.
“Baru-baru ini ADUN-ADUN PH mencabar kerajaan dalam isu pelaksanaan MA63 dan saya ucap terima kasih kerana mereka menarik balik saman pemula berkenaan,” katanya.
Anwar berkata, tindakan menarik balik saman itu akan membolehkan Kerajaan Persekutuan terus menjalin kerjasama dan meningkatkan usahasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan MA63.
Pada 20 September lalu, PH Sabah menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Jun 2022.
Tindakan menarik balik saman tersebut dibuat selepas melihat ada kemajuan berhubung perkara berkenaan, khususnya menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan oleh Perdana Menteri, yang menyaksikan dua daripada tiga deklarasi yang dituntut mereka telahpun dipersetujui, dan akan dilaksanakan nan
Plaintif dalam kes saman pemula itu adalah Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Presiden Kehormat UPKO, Datuk Madius Tangau; Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; ADUN Inanam, Peto Galim; ADUN Likas, Tan Lee Fatt; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan bekas Ahli Parlimen Tenom, Senator Noorita Sual. – UTUSAN