Lepas intai orang, dia ajak solat berjemaah. Itu buat saya ‘panas’ - Pekin Ibrahim belasah krew produksi - Utusan Malaysia

Lepas intai orang, dia ajak solat berjemaah. Itu buat saya ‘panas’ – Pekin Ibrahim belasah krew produksi

KUALA LUMPUR 6 OKTOBER 2023- Sesi sidang media bersama pelakon, Pekin Ibrahim pada Tayangan Perdana Cerana Biduk Bu Merah di TGV Aeon AU2 Kuala Lumpur di sini, Hari ini. -utusan/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Yang buat saya ‘panas’, bila kami sampai di inap desa, krew itu ajak saya solat berjemaah. Padahal baru lepas mengintai orang. Siap bentangkan sejadah lagi.”

Demikian luahan pelakon, Pekin Ibrahim berhubung kejadian dia membelasah seorang krew produksi yang didakwa mengintai pelakon wanita baharu, Sara Daewoo ketika menjalani penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah pada 2018.

Kongsi Pekin, dia dihubungi Sara yang ketakutan selepas mengesyaki seorang lelaki mengintainya di inap desa ketika pelakon-pelakon lain sudah bergerak ke lokasi penggambaran.

“Ketika itu, saya dan kawan dalam perjalanan ke set penggambaran, manakala Sara berada di inap desa wanita. Tiba-tiba dia telefon kawan saya dan mengadu ada seorang krew mengintai dan merakam menggunakan telefon bimbit.

“Kami pun terus patah balik ke sana. Tapi sampai sahaja ke lokasi itu, krew itu ajak solat. Saya minta untuk memeriksa telefon bimbit miliknya, dia beri alasan dan cuba memadam bukti.

“Saya yang tidak dapat menahan sabar, terus membelasah krew terbabit dan menghubungi pengarah, Haizul Anafer Ali. Sara buat laporan dan krew terbabit ditahan polis untuk siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Pekin yang pertama kali berhadapan situasi tersebut sepanjang lebih 20 tahun dalam industri seni kesal dengan kejadian tersebut ditambah pula sikap menunggang agama kru tersebut.

“Filem Cerana Biduk Bu Merah memang seram, tapi saya rasa kes ini lebih seram berbanding cerita yang kami lakonkan. Saya tak sangka berhadapan dengan perkara terbabit. Ini pengalaman pertama berhadapan kes gangguan seksual.

“Saya kesal kerana ada krew itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sudahlah dia melakukan perkara tidak bermoral, dia sempat ‘menunggang agama’ dan berpura-pura mengajak solat,” kata Pekin lagi.

Filem terbitan Goldhill Pictures yang menjalani penggambaran pada 2018 itu akhirnya bakal menemui penonton pada 12 Oktober ini.

Selain Pekin dan Sara, filem ini dibintangi oleh Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN