PETALING JAYA: Laporan pebuh tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 mangsa pada Disember tahun lalu akan dikeluarkan esok.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idris mengesahkan bahawa laporan mengenai bencana tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lalu akan dikeluarkan esok.
“Kami akan menyiarkan laporan itu kepada orang awam di laman sesawang rasmi NADMA. Laporan itu akan dikeluarkan dalam pukul 5 petang esok,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN