TEBING BARAT: Operasi ketenteraan berterusan oleh rejim Israel di wilayah Palestin yang diduduki menyebabkan lebih 1,000 kediaman musnah dan sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin terkorban sejak Januari lalu, menurut dua jawatankuasa media Palestin seperti dilaporkan oleh agensi berita Anadolu.
Tiga kem pelarian utama di utara Tebing Barat iaitu Jenin, Tulkarem dan Nur Shams menjadi sasaran utama tindakan agresif tentera Israel sejak 21 Januari.
Menurut jawatankuasa media di kem Jenin, lebih 600 rumah dimusnahkan, manakala sejumlah besar lagi tidak lagi selamat untuk didiami.
Serangan itu digambarkan sebagai sebahagian daripada kempen ketenteraan selama 159 hari yang menyaksikan rumah dibakar, jalan-jalan dimusnahkan, serta bangunan kediaman dijadikan pos kawalan tentera Israel.
Sejak operasi bermula, seramai 42 penduduk Palestin terkorban di kem Jenin, dengan puluhan lagi cedera atau ditangkap, manakala kira-kira 22,000 penduduk dipaksa meninggalkan kediaman mereka.
Sementara itu, kenyataan berasingan daripada jawatankuasa media kem Tulkarem menyebut 400 rumah dimusnahkan di kem Tulkarem dan Nur Shams, manakala lebih 2,500 kediaman lain rosak sebahagian.
Tentera Israel turut merancang merobohkan 106 bangunan tambahan, melibatkan lebih 250 unit kediaman, menurut kenyataan sama.
Di kem Tulkarem dan Nur Shams sahaja, sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak, dua wanita dan seorang wanita hamil, sejak operasi bermula.
Lebih 25,000 penduduk telah melarikan diri dari ketiga-tiga kem terbabit berikutan keadaan kemanusiaan yang digambarkan oleh kumpulan tempatan sebagai amat meruncing manakala akses ke kawasan kem terus dihalang oleh tentera Israel, menjadikan kawasan berkenaan seperti zon hampir mati.
Sejak permulaan serangan genosid Israel di Gaza pada 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 986 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 lagi cedera di Tebing Barat akibat tindakan ganas tentera dan pendatang haram Yahudi, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.










