Kursus pendek tingkat kemahiran komuniti - Utusan Malaysia

Kursus pendek tingkat kemahiran komuniti

PARA peserta yang selesai mengikuti kursus pendek diberikan sijil pada Karnival PSH Komuniti Madani di Kolej Komuniti Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kursus pendek yang dijalankan Kolej Komuniti di seluruh negara memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mening­katkan kemahiran diri serta menambah punca pendapatan terutama peniaga kecil.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, usahawan spa bergerak, Mazni Mad Som berkata, dia berjaya meningkatkan taraf hidupnya melalui kepelbagaian perkhidmatan spa ditawarkan, setelah mengikuti kursus pendek secara percuma di Kolej Komuniti Masjid Tanah di sini.

Katanya, mutu perkhid­matan berkualiti­ tinggi membuatkan pe­langgan tidak mempersoal harga yang ditetapkan memandangkan ia setara dengan kualiti spa-spa ternama.

“Dalam perniagaan kena ada ilmu, jika tidak kita tidak boleh mele­takkan harga yang tinggi kerana ia tidak setara dengan perkhidmatan yang disediakan. Sebab itulah masih ramai peniaga kecil tersepit dengan keadaan ekonomi semasa kerana tiada pengetahuan dan kemahiran untuk berniaga.

“Saya berharap kursus seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang untuk membantu meningkatkan kemahiran dan taraf hidup komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti Madani di Kolej Komuniti Masjid Tanah di sini.

Karnival PSH Komuniti Madani merupakan kursus pendek dijalankan serentak di Kolej Komuniti seluruh negara untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan jumlah penyertaan seramai 14,545 peserta.

Kolej Komuniti Masjid Tanah menawarkan lima kursus percuma iaitu urutan badan wanita, gunting rambut lelaki, penghasilan cendawan, sabun kraftangan dan kek lapis Sarawak.

Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Masjid Tanah, Zaidi Othman berkata, kursus pendek telah memupuk minat dan menyemai bakat kemahiran dalam komuniti menerusi penawaran pelbagai bidang bersesuaian dengan model ekonomi berpendapatan tinggi.

Jelasnya, rata-rata peserta memberikan sambutan positif dengan pelaksanaan program yang menawarkan lima kursus pendek.

“Peluang kursus pendek percuma yang ditawarkan sememangnya membantu mereka dalam menjana pendapatan, di samping menambah ilmu kemahiran dalam bidang yang berkaitan dengan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN