PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat kajian bagi merombak kurikulum pendidikan melibatkan semua mata pelajaran di semua peringkat sekolah untuk memastikan silibus diterapkan selari dengan perkembangan semasa.
Sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kajian menilai semula kurikulum baharu dijangka memakan masa dua tahun iaitu bermula 2025 hingga 2027.
“Perkara ini sedang dalam peringkat perancangan. Unit kurikulum sudah mulakan perbincangan, tetapi (kajian itu) betul-betul akan bermula 2025 hingga 2027.
“Sekarang dalam fasa mendapatkan idea-idea kajian apa yang diperlukan. Kebanyakan pegawai (kementerian) ketika ini mengadakan lawatan ke luar negara untuk mendapatkan input-input.
“Jadi, kita akan mulakan langkah awal pada 2025 dan pada 2027 perkara itu (rombakan kurikulum) dijangka siap,” tambah sumber itu.
Sebelum ini media melaporkan, KPM akan memulakan Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara bermula tahun hadapan.
Ia bagi mendapatkan input berhubung rancangan pembangunan kurikulum baharu 2027.
Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, antara elemen baharu yang akan diteliti termasuk pendidikan karakter fleksibiliti dan aspek pendigitalan.
Menurut beliau, jelajah itu juga sebahagian usaha untuk merangka pelan pendidikan baharu negara yang akan tamat pada 2025.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, sudah tiba masanya rombakan itu dibuat supaya pendidikan anak-anak memenuhi keperluan terutamanya berkaitan teknologi.
“Sekarang ini, ibu bapa bising apabila subjek Tahun 1 Bahasa Melayu ajar suku kata, tetapi subjek Matematik sudah ada ayat.
“Selain itu, silibus Bahasa Inggeris pula sudah tidak ada budaya Malaysia, semuanya budaya luar dan memang kita tidak puas hati kenapa sampai perlu ambil budaya Eropah.
“Dari segi dasar sistem bukan berorientasikan peperiksaan sudah elok seperti negara lain, jadi, takkan mahu mundur semula. Cuma isunya adalah pelaksanaan.
“Oleh itu, kena juga lihat semula perkara-perkara membebankan guru, pemberian gred, isu kemasukan ke asrama dan soal murid tidak seronok ke sekolah,” katanya.
Justeru, katanya, NUTP akan memerhatikan perancangan itu supaya rombakan itu dapat menjadi kenyataan.
“Kita berharap satu rombakan kurikulum dilaksanakan dengan teliti sesuai dengan dunia kerjaya semasa dan paling penting dapat mendidik kemajuan rakyat Malaysia menghadapi masa hadapan.
“Kita juga akan buat banyak bengkel untuk sokong apa sahaja keperluan yang diberikan. Jadi kita berharap ada sesuatu yang baharu dalam rombakan kurikulum itu,” katanya. – UTUSAN










