KPM pastikan semua agenda dalam Belanjawan 2024 dilaksanakan sebaiknya - Utusan Malaysia

KPM pastikan semua agenda dalam Belanjawan 2024 dilaksanakan sebaiknya

FADHLINA Sidek (duduk) beramah mesra dengan salah seorang peserta sewaktu Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Tahun 2023 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pendidikan akan memastikan semua agenda di dalam Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan dengan sebaiknya susulan pemberian peruntukan terbesar diumumkan oleh kerajaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemberian peruntukan tinggi itu juga hadir dengan tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2024, kementerian menerima peruntukan bagi pembinaan 26 sekolah baharu, 26 perluasan pra sekolah, 18 blok bangunan untuk murid berkeperluan khas, Jelajah Pendidikan Masa Depan Negara dan beberapa lagi.

“Kementerian Pendidikan masih lagi menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar menerusi Belanjawan 2024 ini iaitu berjumlah RM58.7 bilion dan pastinya kita sambut pemberian ini berdasarkan perspektif perjuangan dalam sisi pendidikan manusiawi selama ini.

“Kita akan pastikan semua agenda dalam belanjawan dapat dilaksanakan khususnya apabila mendapat peruntukan besar ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Tahun 2023 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pendidikan menjadi penerima peruntukan paling banyak untuk tahun depan iaitu berjumlah RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada 2023.

Selain itu, beliau mengumumkan sebanyak RM1.9 bilion disediakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Mengulas mengenai program berkenaan, Fadhlina berkata, sambutan itu bukan sahaja merupakan acara tahunan namun ia adalah bertujuan bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Mudah-mudahan kita dapat saksikan banyak lagi sukan dapat diketengahkan dalam bersama-sama meraikannya bagi mencapai tahap kecergasan dan budaya sihat demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut berbesar hati dengan penglibatan kerajaan negeri yang turut bersama-sama bagi menjayakan program tersebut.

Tambahnya, langkah itu juga menunjukkan satu contoh kolaborasi yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan seluruh pimpinan kerajaan negeri yang bersama-sama dalam program dianjurkan pagi ini yang menunjukkan kolaborasi baik antara dua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya