PETALING JAYA: Daerah Klang, dekat sini menjadi satu-satunya kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan itu merekodkan bacaan IPU 156 setakat pukul 5 petang ini.
Sementara itu, 50 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana dengan bacaan 51 hingga 100.
Data sama turut menunjukkan 17 kawasan di Semenanjung merekodkan tahap IPU yang baik iaitu di bawah 50.
IPU berskala antara 0-50 dikategori sebagai sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Data IPU itu dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. – UTUSAN










