PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yakin sejumlah RM2.8 billion yang diperuntukkan kepada kementerian itu melalui Belanjawan 2024 mampu merealisasikan aspirasi Kerajaan Perpaduan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Dalam satu kenyataan KKD memaklumkan, kementeriannya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 yang membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
Kata kenyataan itu, KKD telah diperuntukkan sebanyak RM2,849,246,800 untuk mempertingkat inisiatif ketersambungan digital, ekonomi digital, keselamatan siber, pemasaran maklumat kenegaraan serta menyokong perkembangan bakat dan projek kreatif tempatan.
“Kerajaan yang kini dalam dekad memacu ekonomi digital, telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi penyediaan Geran Pendigitalan hingga RM5,000. Geran tersebut diyakini akan memberikan manfaat kepada lebih 20,000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pengusaha mikro bagi menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.
“Selain itu, sebanyak RM40 juta disediakan bagi pelaksanaan program Shop Malaysia Online sebagai galakan kepada peniaga kecil, khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah.
“Sejumlah RM25 juta pula diperuntukkan bagi memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyokong pengusaha kecil memasarkan dan menjual hasil produk secara dalam talian.
“Keprihatinan kerajaan dalam menghargai bakat-bakat kreatif tempatan direalisasikan dengan peruntukan sebanyak RM160 juta bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia. RM60 juta pula disalurkan kepada Dana Kandungan Digital untuk mempromosikan karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan,” kata kenyataan itu.
Selain itu KKD berkata, bagi memastikan industri perfileman negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sebanyak RM90 juta dikhaskan di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).
Seterusnya, Skim Dana Padanan MyCreative diperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.
“Pada masa sama, kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan serta pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem.
“KKD menghargai sokongan kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia melalui cadangan penetapan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon serta kru filem asing yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.
“Usaha untuk melonjakkan penerimagunaan 5G akan terus dipertingkatkan dengan memperluas kerjasama dengan syarikat telekomunikasi agar lebih ramai pengguna dan perusahaan mendapat manfaat.
“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kepada CyberSecurity Malaysia untuk membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G serta kepakaran tempatan terhadap teknologi 5G.
“KKD juga amat mengalu-alukan usaha kerajaan dalam mengekalkan cukai perkhidmatan telekomunikasi sebanyak enam peratus bagi menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia,” katanya. – UTUSAN