Ketua pembantu tadbir dituduh salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Ketua pembantu tadbir dituduh salah guna kuasa

NOR Akma Abd. Ghani yang didakwa melakukan sembilan salah guna kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang ketua pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan  salah guna kuasa membabitkan perolehan bekalan bernilai lebih RM23,000.

Nor Akma Abd. Ghani, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu yang merupakan ketua pembantu tadbir di Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) didakwa menggunakan jawatannya untuk tujuan mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa menyokong borang pesanan pembelian bagi perolehan penyediaan makan minum, bekalan pemacu pena (pendrive), bekalan barang asrama dan rumah tamu serta bekalan bahan mentah.

Kesemua borang pesanan perolehan tersebut berjumlah antara RM400 sehingga RM6,500 dengan tertuduh didakwa mempunyai kepentingan memandangkan perniagaan itu adalah milik adik iparnya.

Nor Akma didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Kemas Terengganu di Kuala Nerus sejak Ogos 2019 sehingga Mei 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 27 November sebagai tarikh pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar sebagai peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya