Kesemua jawatan dalam PDRM sensitif, terdedah salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Kesemua jawatan dalam PDRM sensitif, terdedah salah guna kuasa

RAZARUDIN Husain memeriksa barisan pada majlis sambutan peringatan Hari Polis Marin ke-76 di Dataran Kawad Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kesemua jawatan di dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah sensitif kerana mana-mana anggota atau pegawai boleh menyalahgunakan kuasa serta terlibat dalam kegiatan rasuah.

Disebabkan itu, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, beliau ketika dilantik ke jawatan berkenaan telah mengarahkan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard(JIPS) untuk menyiasat mana-mana pegawai atau anggota polis yang mampu hidup dalam keadaan mewah berbanding dengan kemampuan kewangan mereka.

“Ada cakap CID (Jabatan Siasatan Jenayah) satu jawatan sensitif dalam PDRM, pada saya semua jawatan sensitif kerana sesiapa yang jadi polis dan mempunyai kuasa dia boleh salah gunakan kuasa, serta boleh terlibat dalam rasuah.

”Saya sendiri telah arahkan JIPS cuma saya tidak isytiharkan sahaja apabila telah menjadi KPN untuk melihat perkara ini, mana-mana (pegawai dan anggota) yang hidup dalam keadaan yang dia tidak mampu tetapi dia mewah hidupnya kita akan siasat,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan peringatan Hari Polis Marin ke-76 di Dataran Kawad markas berkenaan.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kepimpinan tertinggi PDRM tidak akan berkompromi serta tidak akan membantu mana-mana pegawai yang terlibat dengan salah guna kuasa, rasuah termasuk tatakelola yang salah.

”Perkara ini memang telah kita bincangkan, bahawa integriti memainkan peranan untuk meningkatkan imej PDRM, saya mahu imej PDRM meningkat disebabkan apabila imej meningkat saya percaya rakyat akan percaya kepada PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain yang memberi amaran kepada pegawai dan anggota hidup mewah kerana bersubahat dengan sindiket jenayah adalah berpaksikan kepada fokus beliau dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Apa yang Shuhaily keluarkan adalah berpaksikan kepada fokus saya, sebelum itu pun saya dah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis dan Shuhaily sendiri melihat kepada pegawai-pegawai yang hidup mewah.

“Tapi kalau dia (pegawai atau anggota) memang mampu hidup mewah, contoh ada Sarjan yang isteri dia memang gaji RM80,000 sebulan sebab isteri dia adalah pegawai besar mana-mana syarikat, dia nak beli kapal terbang pun tidak apa, tetapi ini pegawai atau anggota yang tidak berkemampuan dan tidak selari dengan gaji pendapatan isi rumahnya hidup secara begitu (mewah),” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, PDRM akan membetulkan secara dalaman kekurangan yang ada pada agensi berkenaan bagi mengembalikan integriti dan kepercayaan rakyat kepada polis.

”Jadi sebenarnya kita betulkan dalaman ini dulu, kalau saya bercakap macam ini saya bercakap sahaja dan tidak ambil tindakan itu pun tak betul.

“Jadi lebih bagus perkara ini kita akan ambil tindakan dalaman, tidak payah cerita keburukan anak kita.

“Kalau nak tanya saya berkenaan adakah pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket, saya kena cakap ada, saya duduk Pengarah Narkotik dahulu memang ada pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket dan kita ambil tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas,” katanya.

Selain itu, katanya, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 90 orang anggota dan pegawai polis, malah PDRM sendiri telah membuka 881 kertas siasatan tatertib.

”Isu salah guna kuasa rasuah itu memang berlaku, saya tidak tolak tetapi ia sangat kecil, kita akan baikinya bagi tingkatkan imej dan apabila imej meningkat secara automatik kepercayaan teras daripada rakyat akan meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya