Kes denggi meningkat 105 peratus

Kes denggi meningkat 105 peratus

MUHAMMAD RADZI ABU HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan 105.5 peratus jumlah kes demam denggi sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 89,474 kes berbanding 43,544 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, jumlah kematian meningkat dengan 65 kes dilaporkan berbanding 26 kematian tempoh sama tahun lepas akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagi tempoh sepanjang minggu 24 hingga 30 September lalu iaitu Minggu Epidemiologi ke-39, jumlah kes demam denggi adalah sebanyak 2,299 kes berbanding 2,310 kes pada minggu sebelumnya.

“Jumlah ini menunjukkan iaitu penurunan sebanyak 11 kes. (Namun), terdapat tiga kematian akibat komplikasi demam denggi.

“Terdapat 60 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini iaitu 46 lokaliti di Selangor, sembilan di Kuala Lumpur dan dua di Pulau Pinang selain masing-masing satu lokaliti di Perak, Kelantan dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, sebanyak enam kes direkodkan pada minggu lalu dengan 175 jumlah kumulatif kes penyakit itu setakat ini.

Bagi survelan zika pula katanya, sebanyak 2,535 sampel darah dan 241 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, beliau berkata, situasi banjir ketika ini di beberapa kawasan merisikokan wujud takungan air selepas banjir surut.

Justeru, penduduk yang terkesan diseru melakukan aktiviti cari dan musnah bekas-bekas pembiakan nyamuk Aedes kerana plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin serta sampah sarap yang dibawa air banjir dikhuatiri boleh menakung air.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, tiada peningkatan ketara jumlah pesakit demam denggi yang dirawat di hospital swasta secara keseluruhannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kemungkinan di sesetengah hospital swasta berlaku jumlah pesakit itu bertambah, namun ia masih dalam kawalan.

“Penyakit demam denggi biasanya berada di kawasan hotspot dalam jumlah yang besar dan hospital swasta mungkin tidak ada berdekatan dengan tempat tersebut dan pesakit berada di beberapa hospital swasta berlainan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×