Kerajaan negeri cadang bangunkan semula Tasik Pedu

Kerajaan negeri cadang bangunkan semula Tasik Pedu

PEMANDANGAN kawasan Tasik Pedu yang menjadi lokasi tarikan pelancongan pada 1995 sebelum ditutup sepenuhnya 15 tahun kemudian di Padang Terap. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri sedang menyiapkan kertas kerja berhubung cadangan membangunkan semula Tasik Pedu di Padang Terap sebagai lokasi pelancongan untuk dibentangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, pihaknya sudah mewujudkan satu jawatan kuasa bagi membincangkan tentang usaha tersebut yang dianggotai agensi berkaitan dan pemimpin setempat di situ.

“Memang ada usaha daripada kerajaan negeri untuk pulihkan kembali tempat yang terbiar termasuk Tasik Pedu itu kerana kita juga ada aset-aset yang boleh dijadikan produk pelancongan Kedah di kawasan itu.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit untuk siapkan cadangan itu dan bila siap kelak kita hantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk memperoleh dana supaya tempat pelancongan ini dapat dibangunkan semula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia berkaitan tempat pelancongan Tasik Pedu yang kini terbiar serta menjadi lokasi memburu hantu dalam kalangan penggemar aktiviti paranormal.

Tasik Pedu dibangunkan sebagai resort penginapan bertaraf antarabangsa sebelum ditutup pada 2010 setelah bertahan cuma 15 tahun.

Kawasan berkenaan pernah menjadi tarikan pelancong termasuk dari luar negara kerana mempunyai pelbagai kemudahan termasuk lapangan golf 18 lubang.

Kata Mohd. Salleh, pembangunan semula Tasik Pedu itu juga melibatkan usahawan pelancongan di kawasan itu yang mempunyai produk setempat untuk dipromosikan.

“Minggu lepas saya sudah memanggil wakil rakyat di kawasan itu serta pengusaha produk pelancongan di sana untuk berbincang. Mereka mempunyai banyak idea yang boleh diketengahkan untuk membantu memulihkan kawasan itu.

“Kita tengoklah bagaimana nanti dan kita berharap kerajaan akan pertimbangkan permohonan itu. Difahamkan pelancongan memperoleh peruntukan sebanyak RM250 juta untuk mempromosikan sektor itu seperti diumum oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024. Kerajaan negeri juga mempunyai dana untuk pelancongan ini pada tahun depan,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri bersama agensi terlibat akan melipat gandakan pemulihan tempat pelancongan di seluruh Kedah agar sektor itu kembali rancak pada tahun depan terutama selepas pandemic Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN