Kerajaan disaran naik harga lantai belian padi RM1,500 sehingga RM1,700 per tan - Utusan Malaysia

Kerajaan disaran naik harga lantai belian padi RM1,500 sehingga RM1,700 per tan

RAZALI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan disaran menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,500 sehingga RM1,700 per tan yang disifatkan relevan dengan situasi semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, harga lantai belian padi yang diputuskan kerajaan sebanyak RM1,200 per tan sejak 2014 itu sudah terlalu lama dan petani mengharapkan kenaikan mengikuti situasi semasa.

Katanya, sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu mengambil kira mengenai perkara ini khususnya dalam membantu menyelesaikan masalah dihadapi oleh para petani.

“Harga lantai bagi belian padi di peringkat pengilang sebanyak RM1,200 per tan yang diputuskan kerajaan ini adalah terlalu lama dan masyarakat tani amat mengharapkan ia dapat dinaikkan pada kedudukan RM1,500 ke RM1,700 per tan.

“Bagi pelaksanaan ini, ia mungkin akan melibatkan impak kepada harga beras, harga padi benih dan lain-lain maka saya berpendapat, kerajaan juga mungkin boleh tetapkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) bagi 10 kilogram/kampit dapat ditetapkan pada harga RM30 hingga RM32.

“Manakala bagi harga benih padi sah, kita cadangkan supaya kerajaan gazetkan pada kadar RM45-RM50 untuk 20 kilogram/kampit bagi bersama-sama menjaga situasi pasaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razali turut menyarankan kerajaan agar dapat memberikan perhatian kepada nasib pengusaha-pengusaha padi benih daftar yang tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.

“Pengusaha-pengusaha ini yang menguruskan tanaman secara mencedung atau mesin perlu mengeluarkan kos yang tinggi namun tidak pernah ada insiatif daripada kerajaan bagi menetapkan harga lantai buat pihak ini.

“Mereka hanya mengharapkan ehsan daripada pengilang-pengilang padi benih sedangkan kos operasi mereka melibatkan banyak aspek seperti persediaan tanaman, tapak, kawalan rumpai dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Razali turut mengesyorkan kerajaan agar dapat menetapkan harga lantai bagi padi benih antara RM1,800 ke RM2,000 untuk satu metrik tan.

Beliau berkata, manakala bagi padi benih daftar pula perlu ditetapkan pada paras RM70 sehingga RM75 dengan mengambil kira kos operasi membabitkan harga racun, upah buruh, harga mesin tuai dan pelbagai lagi.

“Kami di pihak kerajaan negeri kami bersedia bertemu dengan Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan bagi memberi perincian lanjut tentang cadangan-cadangan ini.

“Cadangan ini juga mungkin dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2024 bagi membantu membela nasib para petani,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya