JPJ Kelantan siasat peningkatan 'luar biasa' warga Pakistan mohon permit memandu - Utusan Malaysia

JPJ Kelantan siasat peningkatan ‘luar biasa’ warga Pakistan mohon permit memandu

MOHD Misuari Abdullah (kiri) beramah mesra bersama penerima MyLesen pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Percubaan (PDL) Peserta MyLesen B2 di Akademi Memandu Nasrom, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan peningkatan ‘luar biasa’ warga Pakistan memohon permit memandu antarabangsa.

Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, peningkatan ketara itu dapat dilihat pada bulan ini selepas JPJ Kelantan menerima sehingga 20 permohonan berbanding enam pada September lalu.

Menurutnya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada pertambahan luar biasa itu mempunyai kaitan dengan sindiket yang menyalahi undang-undang negara.

“Kita mula mengesyaki ada sesuatu dan semakan awal juga mendapati terdapat keraguan apabila nama dan jawatan yang sama digunakan tetapi orangnya berbeza. Sekiranya perkara ini melibatkan sindiket tertentu, kita tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana kita tidak mahu ia terus berleluasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Percubaan (PDL) Peserta MyLesen B2 di Akademi Memandu Nasrom di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 87 peserta MyLesen B2 lulus ujian dan menerima PDL.

Dalam perkembangan lain Mohd. Misuari berkata, terdapat 196 kenderaan yang disita kerana dipandu warga asing terutama dalam kalangan etnik Rohingya masih belum dituntut.

Katanya, kesemua kenderaan itu didaftarkan atas nama rakyat tempatan dan mereka ini berisiko untuk disenarai hitam.

“Sebelum ini, bila kenderaan mereka disita, pemilik kenderaan datang ke JPJ dan membayarnya, namun sekarang mereka perlu hadir di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, pemilik kenderaan boleh dikenakan denda RM2,000 manakala warga asing yang memandu dikenakan RM4,000 dan jika berulang mereka berisiko untuk dipenjarakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN