PUTRAJAYA: Tahap liputan internet di negara ini telah mencapai 96.96 peratus sejak kerajaan melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) tiga tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, usaha tersebut yang dibuat bagi mengatasi masalah internet menunjukkan perkembangan positif apabila liputan 4G di kawasan berpenduduk meningkat.
Melalui inisiatif itu, sebanyak 1,996 menara komunikasi baharu siap dibina daripada 3,830 infrastruktur telekomunikasi itu yang dirancang setakat suku kedua tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, sebanyak 39,226 buah pemancar siap dinaik taraf daripada 39,491 yang dirancang.
“Sejumlah lebih 3.08 juta premis tersedia dengan capaian gentian optik daripada lebih 4.1 juta premis yang dirancang.
“Semua inisiatif ini dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung suku keempat 2025,” katanya di sini semalam.
Nie Ching berkata, pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga menyediakan akses terbuka rangkaian jalur lebar talian tetap menggunakan teknologi gentian optik berhampiran kawasan sekolah dan kawasan industri melalui Projek Point of Presence (PoP).
Menurutnya, sebanyak 480 kawasan PoP berjaya disiapkan di seluruh negara dengan menyediakan sebanyak 49,920 premis sedia untuk dilanggan dan menikmati perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi tersebut setakat 15 September lalu.
Dalam pada itu, bagi pelaksanaan rangkaian 5G, beliau memberitahu, setakat hujung Ogos lalu, rangkaian 5G di Malaysia mencapai 68.8 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
“KKD bersama pihak terlibat terus komited untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini sebelum negara beralih kepada model dwirangkaian 5G seawal Januari 2024,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tahap literasi digital rakyat negara ini, ia mencapai 80 ke 90 peratus berdasarkan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah (ICTHS) yang dilaksanakan setiap tahun.
Melalui survei ICTHS tahun 2022 lalu, tahap literasi digital dikira melalui penggunaan telefon bimbit iaitu sebanyak 99.1 peratus, manakala penggunaan komputer sebanyak 80.2 peratus.
Jelasnya, KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan program #SayaDigital pada 2021 untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat dengan memupuk kesedaran daripada golongan pemula digital atau digital novice dengan inisiatif ekonomi digital.
“Untuk tahun ini, MDEC menyasarkan seramai 10,000 rakyat mendapat manfaat menerusi Kempen Jelajah #SayaDigital menerusi 24 lokasi di seluruh negara dengan sasaran capaian kandungan (content) #SayaDigital sebanyak 2 juta.
“Kempen #SayaDigital membawa empat teras utama iaitu ‘Saya Digital Literasi’ bermatlamat membantu mempertingkatkan penguasaan teknologi digital dan ‘Saya Digital Bisnes’ untuk membantu mengembangkan perniagaan rakyat ke arah digital di samping menjimatkan kos perniagaan menerusi program eUsahawan dan 100 Go Digital,” katanya.
Selain itu ialah teras ‘Saya Digital Freelance’ membantu rakyat menguasai kemahiran digital untuk menjana pendapatan tambahan melalui bidang tugasan bebas atau freelancing serta berniaga dalam talian menerusi program eRezeki dan GLOW.
Turut dibangunkan teras ‘Saya Digital Kerjaya’ melalui tawaran kursus teknologi digital, #MyDigitalMaker, Digital Up dan Let’s Learn Digital.
Nie Ching berkata, sektor ICT atau digital menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan dijangka meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025 atau lebih awal, menandakan potensi besar didorong penggunaan digital dan transformasi merentas pelbagai sektor ekonomi.
Katanya, Malaysia juga berada dalam trajektori positif ke arah ‘Era Keemasan Digital’ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang yang dipacu penggunaan meluas digital serta integrasi teknologi digital dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat dan perniagaan.
“Dalam usaha merealisasikannya, KKD melalui MDEC melancarkan Malaysia Digital bertujuan mempercepat pertumbuhan ekosistem digital negara, sambil menyokong transformasi ekonomi melalui Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).
“Tumpuan khusus diberikan ke arah teknologi baharu dan inovasi dengan potensi pertumbuhan tinggi, peluang dan kepentingan dalam memacu transformasi Malaysia dalam ekonomi digital untuk beberapa tahun akan datang seperti kepintaran buatan (AI) generatif, rantaian blok (blockchain) dan keselamatan siber (cybersecurity),” katanya. – UTUSAN










