KOTA KINABALU: Insiden kenderaan pacuan empat roda dan ambulans tersangkut dalam lumpur antara situasi mencabar yang dihadapi penduduk di Long Pasia, Sipitang.
Setiap kali musim hujan, insiden kenderaan tersangkut dalam lumpur bukan lagi perkara baharu. Penduduk di situ sudah penat menyuarakan tentang keperluan menaik taraf jalan tanah merah dan berbatu sungai di kawasan pedalaman tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim berkata, sudah berpuluh tahun penduduk di situ merayu agar jalan berkenaan dinaik taraf namun, keadaan masih sama seperti dahulu.
Apabila berlaku kes-kes kecemasan yang memerlukan ambulans menghantar pesakit ke Pekan Sipitang semasa musim hujan maka, terjadilah insiden ambulans tersangkut dalam lumpur seperti yang berlaku pada awal tahun ini.
Masa perjalanan yang mengambil masa selama tujuh jam dari Long Pasia ke Sipitang turut memberi risiko kepada pesakit yang perlu dibawa keluar dan dihantar ke hospital.
“Itu sebabnya bagi kes-kes ibu yang ingin bersalin, mereka dihantar lebih awal ke hospital bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini. Sebelum ada klinik kesihatan, memang berlaku insiden ibu bersalin dalam perjalanan ke hospital, tapi itu dulu-dululah.
“Sekarang, sekruang-kurangnya seminggu sebelum tarikh bersalin, ibu-ibu yang mengandung memang akan dihantar ke Hospital Sipitang,” katanya.
Menurut beliau, jambatan-jambatan kayu di sepanjang laluan juga sering kali rosak akibat banjir dan itu menjadi cabaran utama kepada penduduk untuk keluar ke Pekan Sipitang semasa musim hujan.
Yakub berkata, apabila jambatan roboh, mereka akan segera menghubungi syarikat konsesi untuk membaiki jambatan itu dengan kadar segera. Pembaikan biasanya dilakukan dalam tempoh tidak sampai sehari bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan tersebut.
Berkongsi lanjut katanya, setakat ini belum ada sekolah menengah dibina di Long Pasia jadi, mereka terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama di Sipitang.
Katanya, keadaan jalan yang mencabar memerlukan pelajar sekolah menengah ditempatkan di asrama agar keselamatan mereka lebih terjamin.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pasia beberapa bulan lalu dan mereka mencadangkan untuk menjadikan SK Long Pasia sebagai sekolah K9. Dengan itu, pelajar akan bersekolah di situ sehingga tingkatan tiga.
“Kami berharap cadangan itu diluluskan agar penduduk kampung tidak perlu menghantar anak yang bersekolah menengah ke Pekan Sipitang,” katanya. -UTUSAN