Isu penjualan tanah: Tidak perlu salahkan sesiapa, strukturkan semula PDC - Ramasamy - Utusan Malaysia

Isu penjualan tanah: Tidak perlu salahkan sesiapa, strukturkan semula PDC – Ramasamy

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tidak seharusnya menyalahkan mana-mana pihak berhubung isu penjualan tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memandangkan apa yang berlaku berpunca daripada PDC sendiri.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berkata, masalah yang dihadapi oleh Kon Yeow ketika ini adalah tidak bersedia untuk ‘mengganggu’ sistem birokrasi yang wujud dalam agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PDC.

Dalam hal ini kata beliau, pengurusan PDC khususnya berkaitan isu penjualan tanah benar-benar perlu diteliti semula.

“Adakah Chow (Kon Yeow) bersedia untuk semua ini atau mendapati ia lebih menyenangkan untuk menyalahkan pihak lain?

“Untuk menstrukturkan semula kepimpinan PDC pula, ia memerlukan keputusan yang dibuat secara bersama oleh Lembaga Pengarah syarikat itu, Exco-exco kerajaan negeri selain peranan penting yang dimainkan oleh beliau sendiri selaku Ketua Menteri,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, beliau sendiri telah mencadangkan kepada Kon Yeow agar kepimpinan PDC distrukturkan semula.

Bagaimanapun, katanya, Kon Yeow membidasnya semula dengan mendakwa tugas itu sepatutnya dilakukan beliau selaku pengerusi jawatankuasa sumber manusia PDC sebelum ini.

“Ya, memang saya bertanggungjawab terhadap urusan pengambilan dan pemilihan staf tapi bukan urusan penstrukturan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri seperti PDC, PBA (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) dan lain-lain.

“Penukaran atau pelucutan kuasa pemimpin atasan agensi itu adalah hak prerogatif (istimewa) oleh Ketua Menteri dengan perundingan daripada agensi-agensi yang berkaitan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, beliau memahami situasi yang dihadapi oleh Kon Yeow ketika ini dan percaya Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan masih dalam keadaan tertekan susulan isu penjualan tanah kontroversi oleh PDC kepada Umech Land Sdn. Bhd..

Katanya, walaupun penjualan tanah kontroversi itu telah dibatalkan, namun beberapa persoalan masih belum terjawab sehingga kini.

“Jadi, tidak ada gunanya untuk beliau menyalahkan saya atau orang lain berhubung hal-ehwal semasa yang melibatkan kerajaan negeri ini.

“Ingin saya ingatkan kepada Chow (Kon Yeow) sekali lagi. Yang bersalah itu ada dalam kalangan kita sendiri,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya