Isu pengurusan dana latihan: PAC siasat HRD Corp - Utusan Malaysia

Isu pengurusan dana latihan: PAC siasat HRD Corp

MAS Ermieyati Samsudin dan sebahagian anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dalam sidang akhbar di lobi Parlimen semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan terhadap Ketua Eksekutif Human Resources Development Corporation (HRD Corp) berhubung isu Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan syarikat itu pada 23 Oktober ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan memanggil Datuk Shahul Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia untuk memulakan prosiding.

“Isu ini tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), jadi, PAC menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Dewan Rakyat untuk meng­adakan prosiding ini,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen semalam.

Sementara itu katanya, PAC akan membentang laporan prosiding berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlin­dungan Diri (PPE) Kementerian Kesihatan (KKM) di Parlimen pada 30 Oktober ini.

Kata beliau, pihaknya telah selesai mengadakan mesyuarat penyediaan laporan berkenaan pada 16 dan 17 Oktober lalu.

“Isu ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Per­sekutuan dan Badan-Badan Berkanun.

“Kami telah mengadakan lima prosiding pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu dengan memanggil beberapa saksi termasuk bekas Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Isu ini turut didebatkan oleh ramai Ahli Dewan Rakyat ketika membahaskan LKAN dalam mesyuarat Dewan Rakyat, Jun lalu. Oleh itu, kami jangka akan bentangkan laporan pada hujung bulan ini,” katanya.

Turut terlibat sebagai saksi dalam prosiding itu antaranya Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Chen Chaw Min dan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Pharmaniaga Berhad, Izaddeen Daud.

Dalam pada itu katanya, pro­siding berhubung Menteri Kewangan (Diperbadankan) – Felcra Berhad yang sepatutnya diadakan semalam ditangguh kerana Pengarah Pengurusan Syarikat WZR Property Sdn. Bhd. tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

“PAC memerlukan ketera­ngan beliau memandangkan beliau terlibat dengan perkara yang ingin­ disiasat oleh PAC. Saya mohon saksi berkenaan hadir bagi membantu kami melengkapkan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya