Isu bahasa pengantar sekolah vernakular diputuskan 23 November

Isu bahasa pengantar sekolah vernakular diputuskan 23 November ini

MOHAMED Haniff Khatri Abdulla bersama pasukan guamannya hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi pendengaran rayuan berhubung sekolah vernakular. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 23 November ini bagi keputusan rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) serta keabsahan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak-pihak dalam rayuan tersebut.

SEBAHAGIAN pihak berkepentingan hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti kes rayuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu penggunaan bahasa pengantar di sekolah vernakular. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA.

Perayu-perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mappim dan Gapena berhujah, meskipun rakyat negara ini boleh belajar dan mengajar bahasa lain, namun, ia tidak boleh digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan rasmi.

“Oleh kerana pendidikan merupakan urusan rasmi, maka bahasa Melayu wajib digunakan sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran silibus,” hujah beliau.

Dalam hujahannya, Mohamed Haniff Khatri juga berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak langsung berhasrat memelihara sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Beliau menghujahkan, tiada klausa diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan hasrat itu.

Peguam itu berpendirian, keadaan itu tidak sama seperti Perkara 152(2) iaitu untuk memelihara penggunaan bahasa Inggeris di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tempoh sepuluh tahun.

Menurut Mohamed Haniff, Perkara 152(3) pula untuk memelihara penggunaan bahasa Inggeris bagi penggubalan undang-undang.

Hujahnya, Perkara 152(4) pula untuk memelihara penggunaan bahasa Inggeris di Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Mahkamah Tinggi manakala Perkara 152(5) pula memelihara penggunaan bahasa itu di mahkamah rendah.

“Jika Perkara 152 berhasrat untuk memelihara secara keperlembagaan kewujudan sekolah vernakular yang menggunakan bahawa pengantar bahasa Mandarin dan Tamil, mengapa tiada klausa diperuntukkan dalam Perlembagaan?” hujah beliau.

Menurut Mohamed Haniff, isu yang dicabar adalah berkenaan bahasa pengantar dan pertikaian itu tidak mendiskriminasi bangsa Cina dan India di sini.

Hujah beliau, meskipun Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa meminda undang-undang berkaitan pembelajaran, namun ia tidak memberi kebebasan untuk membuat undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Sementara itu, peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Isma, mengguna pakai hujah Mohamed Haniff Khatri dalam rayuan itu. Datuk Shaharuddin Ali pula mewakili i-Guru.

Dalam rayuan itu, pihak responden menghujahkan isu sekolah vernakular tertakluk di bawah Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak mendapatkan pendidikan dan wajar diberi takrifan liberal.

Perkara 12 menyatakan rakyat Malaysia daripada apa bangsa atau agama sekalipun tidak boleh didiskriminasi untuk memperoleh pendidikan dan dana kerajaan atau institusi pendidikan.

Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri menghujahkan, pihak responden terkhilaf kerana isu berkaitan sekolah vernakular tertakluk di bawah Perkara 152, bukan Perkara 12.

Dalam prosiding terdahulu, pihak kerajaan menghujahkan, bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan berhujah, kesemua sekolah terbabit juga perlu mematuhi sukatan mata pelajaran yang sama.

Hujah beliau, penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular diiktiraf dari segi sejarah dan diperuntuk secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Horng Bin berkata, hasrat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa sama, memelihara serta mengekalkan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan.

Dalam prosiding itu, i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya.

NGO itu merayu agar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Mappim, Gapena dan Isma pula merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut.

Hakim Mohd. Nazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Beliau berpendapat, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil, tidak bercanggah dengan Perkara 152(1).

Hakim berkenaan turut berpendirian, ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan.

“Oleh itu, penggunaan bahasa terbabit tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular yang turut menggunakan Kurikulum Kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Negara,” katanya.

Beliau juga memutuskan bahawa tidak ada asas untuk menyatakan bahawa penubuhan serta kewujudan sekolah vernakular adalah tidak konsisten atau bercanggah dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata dalam apa jua keadaan, tidak pernah dibuktikan bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah mencabuli hak asasi mana-mana orang seperti yang dijamin dalam Perkara terbabit di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman yang difailkan, plaintif telah menamakan Kerajaan Malaysia dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN